KUALA LUMPUR – Teater Nyonya akan kembali dipentaskan buat kali kelapan pada 15 dan 16 Oktober ini di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang yang bakal menggabungkan barisan pelakon lama dan baru sejajar dengan perkembangan industri masa kini.
Teater ini bakal menampilkan gabungan artis senior popular dan baharu antaranya Datuk Ziela Jalil (Cantik), Liza Abdullah (Anggun), Vanidah Imran (Beautiful), Deera Amin dan Zera Hariz (Nyonya), Eyzendy Aziz (Tuan).
Penerbit CTRA Production, Siti Rohaya Atan berkata, pementasan kali ini dipilih untuk dipentaskan di dalam hotel bagi menampilkan kelainan.
“Kami pilih hotel sebagai lokasi pementasan bagi memberi sedikit kelainan pada teater ini kerana ruangan hotel boleh memuatkan penonton seramai 700 orang dalam satu satu masa.
“Kami jangkakan seramai 2,800 penonton akan hadir memandangkan harga tiket yang mampu milik dan selesa.
“Barisan pelakon pula, kami pilih mereka yang boleh dan senang bekerjasama dengan pihak produksi. Lagipun pelakon kami mempunyai kekuatan dan kehebatan mereka sendiri dalam membawakan watak masing-masing,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Tiket Nyonya dijual pada harga RM30 dan RM50 manakala pementasan teater pula bermula pada dua sesi pada jam 3 petang dan 8.30 malam.
Teater anjuran Gagasan Anak Seni (GAS), CTRA Production dan Ardi Bridal ini turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Kebudayaan Kesenian Pahang dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Teater arahan Dr. Rosminah Tahir dan skrip Allahyarham Prof. Wisran Hadi ini turut dinaungi Datuk Seri Shahniza Shamsuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.
Nyonya mengisahkan seorang wanita kaya digelar Nyonya yang harus `berperang’ dengan Tuan iaitu seorang pedagang barang antik yang mempunyai pelbagai muslihat.
Pelbagai cara dan muslihat digunakan untuk mendekati Nyonya lebih-lebih lagi selepas mendapat tahu suami Nyonya yang sudah tua terlantar di rumah sakit akibat kanser lidah.
Muslihat terakhir Tuan adalah mengatakan lutut Nyonya akan membengkak dan berdarah jika Nyonya terus berdiri. Lalu dia mahu Nyonya duduk dan berbaring bersamanya di atas katil.