Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini, menjelaskan hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang bernilai RM3 bilion bukan disebabkan ketidakcekapan mengurus atau akibat berjoli.
Adnan Yaakob

KUANTAN – Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob hari ini mengumumkan persaraannya selepas lebih 36 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Kita semua sedia maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan dibubarkan dalam sedikit masa lagi. Saya menganggap ini ucapan terakhir dalam dewan sebelum bersara sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Tan Sri Adnan atau lebih mesra disapa Tok Nan itu telah menjadi wakil rakyat selama lapan penggal.

Beliau pernah mentadbir Pahang apabila mendapat mandat sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun dan mula dilantik sebagai Menteri Besar pada 25 Mei 1999 menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob.

Adnan, anak sulung daripada enam adik beradik dilahirkan pada 18 April 1950, di Bentong dan berkahwin dengan Datin Seri Junaini Kassim.

Mereka dikurniakan empat anak iaitu Awang Osman, Yang Azizah, Yang Aishah dan Awang Omar.

Adnan turut melahirkan rasa syukur kerana Pahang kini ditadbir kerajaan yang baik di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dalam meneruskan legasi untuk membantu rakyat di negeri itu.

“Pahang bernasib baik mendapat hamba Allah bernama Wan Rosdy, anak kelahiran Lipis menjadi Menteri Besar,” katanya.

Menurutnya, Wan Rosdy merupakan seorang yang mempunyai berperangai baik maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah teruja seperti sesetengah orang.

Justeru beliau berharap agar Wan Rosdy dapat meneruskan perkhidmatan cemerlang dalam memimpin negeri itu. – MalaysiaGazette