KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja United Kingdom, Raja Charles III.
Pertemuan selama 40 minit bermula pada jam 3.00 petang waktu tempatan berlangsung di Istana Buckingham, London, United Kingdom semalam (12 Oktober).
Istana Negara dalam kenyataan berkata, kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, pada 10 Oktober hingga 16 Oktober.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pada sesi kunjungan hormat itu Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua.
Raja Charles III dan Al-Sultan Abdullah turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dan UK.
Ini termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Battersea Power Station, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas sesi kunjungan hormat itu.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban AL-Sultan Abdullah dengan Raja Charles III.
Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.
Kunjungan hormat ini, yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua baginda turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan 65 tahun lalu.
Pada 18 September 2022 lalu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Bersama Baginda Raja Charles III yang telah dihoskan oleh baginda di Istana Buckingham.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman negara Baginda Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey pada 19 September 2022 lalu.-MalaysiaGazette