Banjir menjejaskan rumah penduduk yang menyaksikan 14 penduduk dari Kampung Lanchang, Kampung Tasek dan Parit Penghulu Benteng bagi daerah Jasin, Melaka terpaksa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat.

JASIN – Seramai 14 mangsa banjir kilat dari tiga buah kawasan di Jasin terpaksa dipindahkan ke sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama yang mula dibuka di negeri ini susulan banjir kilat dan air pasang besar sejak malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat itu dibuka jam 8 malam tadi bagi menempatkan 14 mangsa daripada lima buah keluarga.

“Bagi daerah Jasin, tiga kawasan yang terjejas adalah Kampung Lanchang, Kampung Tasek dan Parit Penghulu Benteng yang menyaksikan 14 penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS berkenaan.

“Banjir berpunca daripada hujan lebat semalam yang mengakibatkan ‘banjir termenung’ kesan hujan pada Isnin lalu tidak surut dan ditambah dengan keadaan air pasang besar,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Tambahnya, situasi itu mengakibatkan penduduk di beberapa buah rumah kawasan Kg Lanchang terpaksa dipindahkan

“Bagaimanapun, dua lagi daerah iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah tidak terjejas, namun pemantauan secara berkala dilakukan oleh anggota bertugas,” jelasnya.

Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan, paras air di Sungai Kesang, di Telok Rimba Jasin melepasi paras amaran dengan bacaan 3.47 meter.

Sungai Duyong, Melaka Tengah turut melebihi paras amaran dengan catatan 1.55 meter berbanding tahap amaran 1.38 meter.

Lencongan Sungai Malim di Klebang Besar pulak merekodkan paras waspada apabila aras air 1.52 meter (rekod waspada 1.4 meter). – MalaysiaGazette.