Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM39.9 juta sebagai bantuan bagi membaiki rumah-rumah yang rosak akibat banjir di Pahang pada Disember tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu meliputi projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) selain bantuan yang diterima daripada Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Perincian peruntukan diterima membabitkan bina rumah baharu di bawah KPKT membabitkan peruntukan sebanyak RM952,000, pembinaan rumah baharu (KPLB) pula sebanyak RM225,000.

“Manakala bina rumah baharu (UAE) berjumlah RM12 juta, baik pulih rumah bawah RM5,000 (RM4 juta), baik pulih kediaman bagi fasa 1 bawah RM200,000 (RM8 juta) dan baik pulih kediaman fasa 2 pula sebanyak RM13 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (DAP-Ketari) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Young Syefura bertanyakan jumlah terkini rumah yang terjejas akibat banjir pada Disember pada tahun lalu yang telah dibaik pulih dan siap, masih dalam proses baik pulih dan telah menerima bayaran tuntutan baik pulih daripada Kerajaan Pahang dan Persekutuan

Menurut Wan Rosdy, sebanyak 3,175 buah rumah terjejas akibat bencana itu dan daripada jumlah tersebut sebanyak 2,393 rumah siap dibina dan dibaiki pulih manakala baki 782 masih pada peringkat pelaksanaan. – MalaysiaGazette