JOHOR BAHRU – BN bakal mengulangi sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan meraih kemenangan besar.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, ini kerana rakyat sedarusaha pemulihan sosio-ekonomi rakyat perlu didasari kerajaan yang utuh.
“Alhamdulillah, UMNO dan BN telah berjaya memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Johor melebihi dua pertiga majoriti. Ia merupakan pencapaian bermakna bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada rakyat Johor dan negeri amnya.
“InsyaAllah, kita akan berikan yang terbaik untuk kemenangan kerusi-kerusi parlimen yang ditandingi BN nanti. Ini kerana, Johor perlukan representasi yang lebih besar di Persekutuan,” kata bekas Menteri Besar Johor itu dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hasni, representasi yang lebih besar akan membantu memacu kemakmuran negeri selari dengan ikhtiar BN Johor dan agenda-agenda pembangunan negeri lain.
Sementara itu, Hasni berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah membuat keputusan menjadikan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ sebagai tema utama dalam manifesto PRU-15 Barisan Nasional.
“Kestabilan merupakan ramuan utama dan paling penting dalam menjamin kemakmuran sesebuah negara, dan kelancaran sesebuah pentadbiran. Masih segar dalam ingatan saya, bagaimana Johor tidak berupaya untuk mentadbir dengan baik kerana sentiasa tertakluk pada belas kasihan politik kepartian.
“Meskipun pada waktu itu kita telah melaksanakan tiga pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih daripada RM400 juta dan membuka semula sempadan Johor-Singapura secara berkala, namun pemulihan pasca Covid-19 memerlukan mandat yang stabil dan pentadbiran yang kukuh.
“Kita dapat melihat bagaimana mandat yang diterima pada PRN Johor baru-baru ini telah membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif pro-rakyat dengan lebih responsif, yakin dan konsisten,” ujarnya. – MalaysiaGazette