Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Tindakan penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa saman tersebut seolah-olah mempertikaikan kebijaksanaan Seri Paduka untuk memberi perkenan setelah menilai keadaan politik semasa.

Menurut beliau, Seri Paduka juga memberi perkenan setelah diberi taklimat oleh Jabatan Meteorologi yang meramalkan negara hanya akan menghadapi monsun timur laut mulai pertengahan November hingga Mac tahun depan.

“Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara Seri Paduka dengan memperkenankan permintaan Perdana Menteri supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan.

“Ia adalah prerogatif Perdana Menteri dan tidak memerlukan kelulusan kesemua menteri Kabinet.

“Tindakan Charles memulakan saman bagi menghalang langkah untuk memulangkan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil dengan majoriti yang kuat seperti dititah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu tindakan yang amat terdesak dan menghina,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, Charles yang juga pemimpin DAP dilaporkan memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan dan SPR susulan pembubaran Parlimen Isnin lalu.

Beliau memberi alasan pembubaran Parlimen yang mendapat perkenan Seri Paduka itu tidak dibuat atas nasihat Kabinet dan oleh itu, terbatal dan tidak sah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM disaman kerana bubar Parlimen

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast