MELAKA – Sebanyak 65 kenderaan dikenakan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, selepas didapati melakukan beberapa kesalahan dalam Operasi Khas Puspakom, Alor Gajah, di sini semalam.
Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sebanyak 154 kenderaan membabitkan persendirian dan perdagangan diperiksa dalam operasi selama tujuh jam itu.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 123 notis dikeluarkan kepada selepas didapati melakukan beberapa kesalahan.
“Daripada jumlah itu, 77 adalah notis JPJ P (22) antaranya membabitkan kesalahan lesen memandu; Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kesalahan teknikal lain yang dikesan adalah cermin gelap, tiada hon serta nombor pendaftaran.
“Operasi menyasarkan kenderaan persendirian dan juga perdagangan yang menyalahi peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959,” katanya. – MalaysiaGazette.