KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) harus menimbang semula keputusannya untuk mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum ke-15.
Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh menegaskan PH tidak sepatutnya membebankan rakyat dengan mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri berasingan memandangkan Putrajaya mengumumkan PRU15.
“Tidak dapat dinafikan negeri-negeri ditadbir oleh PH telah menyatakan tidak akan mengadakan pilihan raya tahun tapi pengumuman itu dalam konteks mengelak pilihan raya di tengah-tengah kemungkinan banjir pada akhir tahun ini.
”Tetapi sekarang apabila Kerajaan Persekutuan telah memaksa kita ke dalam pilihan raya umum yang mana rakyat tidak mempunyai pilihan.
“Adakah negeri-negeri PH ini perlu membebankan rakyatdengan mendesak mereka keluar mengundi semula tahun depan untuk pilihan raya negeri?,” soalnya.
Ramkarpal berkata, dia telah turun padang di Pulau Pinang dan mendapat tahu rakyat tidak mahu pilihan raya berasingan.
Bahkan, pengundi Pulau Pinang gembira jika pilihan raya negeri dan PRU secara serentak.
Jelasnya, tidak timbul isu pembangkang tidak berprinsip jika mengubah pendirian awal dengan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini, jika alasannya menjaga kepentingan rakyat.
”Oleh itus saya ingin merayu kepada kepimpinan PH supaya serius mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri serentak kerana kita akan lebih kuat.
”Rakyat akan faham bahawa kita terpaksa melakukan ini kerana Kerajaan Persekutuan yang memaksa ‘pilihan raya banjir’ ini ke atas kita pada mulanya.
Setakat ini, DAP yang mentadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri itu.
Manakala Selangor dan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak membubarkannya. – MalaysiaGazette