JASIN – Perdana Menteri sudah menjangkakan keputusan Pas untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata, parti itu menghormati keputusan itu walaupun di peringkat awal Pas sudah bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Menurutnya, ketika itu orang Melayu dan Islam begitu teruja dengan apa yang telah dilakukan (mewujudkan MN) namun perkara itu tidak kesampaian kerana Pas telah membuat pilihan.
“UMNO dari awal sudah pun menjangkakan melalui kenyataan-kenyataan yang dibuat kepimpinan Pas, kita sudah agak perkara ini akan berlaku.
“Walau bagaimanapun, demi perpaduan ummah kita sentiasa terbuka ketika itu untuk berbincang dengan kepimpinan Pas,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3, Jasin hari ini. Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Semalam, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat keputusan memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah.
Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti tersebut perlu meninggalkan Bersatu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga sudah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk bergerak solo pada PRU-15.
“Kita dah jangka yes or no dari awal, kalau yes ada tindakan kita dan kalau no seperti semalam kita pun dah bersedia dengan plan (rancangan) kita untuk pastikan kemenangan BN,” katanya. – MalaysiaGazette
insha’Allah BN akan menang besar dan Pak Mail menyumbang kudrat sbg PM semula. Lupakan PAS kerana parti itu bukan saja khianat kpd MN malah menyokong & menolong Muhyidin utk menghancurkan UMNO