Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Sesi Sarawak Agenda: Townhall bersama YAB Premier Sarawak sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertimbangkan bantuan atau dana khas bagi membolehkan lebih ramai pengundi 18 tahun pulang bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, perkara itu telah dicadangkan pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung bagi dipertimbangan GPS.   

“Biar kita bincang dalam pimpinan kita bagaimana hendak bawakan bantuan untuk anak-anak kita balik mengundi,” katanya.

Beliau yang merupakan Premier Sarawak menyatakan demikian pada sesi Townhall Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) bersama Menteri Kanan Kerjaraya (caretaker), Datuk Seri Fadillah Yusof bergambar kenangan dengan peserta yang hadir pada Sesi Sarawak Agenda: Townhall bersama YAB Premier Sarawak sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2022.

Program yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara warga Sarawak, khususnya pelajar,  dengan pemimpin negeri itu tidak dianjurkan selama dua tahun berikutan penularan Covid-19.

Hadir pada majlis makan malam itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Menurut Abang Johari, sekiranya GPS menang besar pada PRU15 sudah pasti suara kerajaan negeri akan didengari Putrajaya, terutamanya isu yang membabitkan Perjanjian Malaysia 63 (MA63). – MalaysiaGazette