KUALA LUMPUR – Sebahagian besar UMNO bahagian yang mengadakan mesyuarat hari ini meluluskan usul menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Antara bahagian yang meluluskan usul tersebut adalah Sik, Pontian, Sabak Bernam, Machang, Tenggara, Parit Sulong dan Tebrau.
Bahagian-bahagian lain termasuk Alor Gajah, Jelebu, Hulu Terengganu dan Sungai Besar.
Semalam, usul yang sama diluluskan oleh UMNO Bahagian Ketereh.
Pada 14 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk mencadangkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti sebagai calon Perdana Menteri dan poster boy untuk PRU15.
Antara usul yang turut diluluskan UMNO Bahagian Machang adalah solidariti serta kesatuan idea perjuangan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri serta mempercepatkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap dakwaan salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Sementara itu, UMNO Bahagian Pontian juga meluluskan usul pemilihan calon perlu mengambil kira dari kawasan Parlimen yang sama.
UMNO Bahagian Parit Sulong pula turut meluluskan usul menyokong segala usaha menyatukan kepimpinan UMNO demi kelangsungan parti itu dan BN pada PRU15.
Lebih banyak lagi UMNO bahagian mengadakan mesyuarat esok termasuk Bagan Datuk yang diketuai Ahmad Zahid dan Rembau yang diketuai Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan. – MalaysiaGazette