Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai
Liow Tiong Lai

BENTONG – Susulan khabar angin bahawa bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak akan dicalonkan di Bentong, Pahang, pihak tertentu telah  menyatakan pendirian hanya mahukan bekas Menteri Pengangkutan itu untuk bertanding.

Susulan desas-desus “pengguguran” Tiong Lai, pihak berkenaan juga memasang kain rentang di kawasan tumpuan ramai di Bentong untuk menyatakan sokongan kepada Tiong Lai.

Seorang pemimpin pertubuhan tempatan di Karak memberitahu Sinchew Daily, pihaknya telah memulakan kempen menyokong Tiong Lai selepas kedengaran berita bahawa pemimpin “heavyweight” yang akan dihantar MCA ke Bentong adalah orang lain.

Katanya, pihaknya mahu Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memahami dan mendengar suara orang Bentong.

Menurutnya, Tiong Lai yang telah berkhidmat di Bentong selama 30 tahun sepatutnya menjadi pemimpin “heavyweight” yang dihantar MCA untuk bertanding dan bukannya pemimpin lain.

“Presiden MCA harus menghantar Tiong Lai untuk menebus kekalahan di Bentong dan bukannya menghantar pemimpin “heavyweight” lain yang kami tidak kenal.

“Kami akan terus memasang kain rentang di sekitar Bentong dan Karak untuk menyatakan sokongan kepada Tiong Lai,” katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Pahang yang juga Ketua MCA Bentong, Datuk Seri Hoh Khai Mun memberitahu Sinchew Daily, Tiong Lai merupakan satu-satunya calon yang disokong untuk bertanding di Bentong.

Walau bagaimanapun, China Press melaporkan, MCA pusat mungkin meletakkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong sebagai bidan terjun di Bentong.

Menurut akhbar itu, spekulasi bertiup bahawa Ban Hong yang rapat dengan Ka Siong mungkin dipindahkan dari Melaka ke Bentong.

Ban Hong pada asalnya mahu bertanding di Alor Gajah di Melaka, tetapi tidak direstui Ketua MCA Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong. Keadaan itu menyebabkan Ban Hong kekurangan “kawasan yang selamat” untuk ditandingi.

China Press bagaimanapun melaporkan sokongan terhadap Tiong Lai di Bentong merupakan sesuatu yang sukar dinafikan kerana bekas Menteri Pengangkutan dan Menteri Kesihatan itu tetap berkhidmat di situ walaupun kalah dalam pilihan raya.

Selain itu, Tiong Lai juga dilaporkan mengekalkan hubungan kerjasama yang baik dengan UMNO Bentong.