KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan penggunaan logo parti itu di tiga negeri sudah mendapat restu dan lampu hijau daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, ia susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin amat memahami permintaan Pas itu dan ia sesuatu yang rasional, apatah lagi di negeri yang ditadbir parti Islam itu.
“Setakat ini kita telah mendapat semacam lampu hijau daripada PN untuk Pas menggunakan logo Pas di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Setakat ini itulah (keputusan) yang diterima dan dipersetujui.
“Saya tengok kenyataan Pengerusi PN pun beliau mengatakan beliau memahami rasional Pas minta guna logo sendiri,” katanya kepada pemberita di Taman Eko Rimba, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, beliau melihat permohonan Pas itu bukan satu masalah kepada PN.
“Bagi saya, saya faham mungkin tiada masalah.
“Maknanya semua calon PN (di tiga negeri) akan menggunakan logo Pas kalau itu dimuktamadkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette