Ramanan hadir beri sumbangan Deepavali kepada penduduk sekitar Petaling Jaya malam tadi.

KUALA LUMPUR – Semalam lebih 800 penduduk sekitar Petaling Jaya dalam kalangan masyarakat India hadir majlis sumbangan Deepavali anjuran Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R Ramanan.

Walaupun sudah ada khabar angin kuat beliau akan tercalon menjadi salah seorang calon PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), namun Ramanan masih lagi mengunci mulut tentang perkara itu.

Bercakap kepada MalaysiaGazette selepas majlis itu, kata Ramanan yang juga merupakan cucu kepada Tan Sri Devaki Krishnan yang tidak asing lagi di negara ini, beliau bersedia untuk apa jua seandainya di seru oleh partinya.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa lagi, kita tunggu keputusan parti. Apa yang saya lakukan ketika ini adalah sesuatu yang sudah ada darah saya. Nenak saya yang mengenalkan saya dengan dunia politik ini dan saya sudah lama berkecimpung dalamnya.

“Apa yang membuatkan saya dekat dengan masyarakat ialah apabila saya sentiasa berkesempatan untuk turun padang sendiri, bercakap dengan masyarakat umum selain cuba menyelesaikan isu-isu yang begitu dekat dengan masyarakat.

“Selama ini juga saya lantang bercakap tentang pelbagai isu nasional, tentang rakyat yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah membelengungi masyarakat kita khasnya isu berkaitan komuniti India seperti isu kad pengenalan merah, pendidikan serta pemerkasaan anak muda.

“Saya telah berjaya dalam hidup saya, perniagaan dalam bidang kejuruteraan namun semangat dalam nenek saya untuk cuba memartabatkan kehidupan masyarakat setempat itu sentiasa  berkobar dalam diri saya.

“Masih tidak ramai yang tampil yang membela nasib golongan terpinggir dari arus pembangunan, itu yang saya cuba usahakan, ini belum lagi masuk isu perkaumanan yang semakin kuat meresap dalam diri segelintir,” katanya.

Untuk makluman, Ramanan yang sebelum ini Timbalan Pengarah Strategi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) merupakan graduan Universiti Teknologi Queensland, Australia selain juga menimba pengalaman di Amerika Syarikat (AS) sebelum kembali ke Malaysia.

Terdahulu ketika bercakap dalam majlis sumbangan Deepavali itu, Ramanan turut memohon kepada para penduduk yang hadir untuk membuat keputusan bijak ketika mengundi bagi memastikan golongan itu sentiasa terbela pada setiap masa. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast