Tun Dr. Mahathir Mohamad.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) mempersoalkan keupayaan ‘kerajaan UMNO’ untuk melaksanakan Bajet 2023 jika parti itu dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi GTA Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa ‘Kerajaan UMNO’ tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan bajet yang telah dibentangkan awal bulan ini.

Mahathir yang berpeluang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu mendakwa, kerajaan UMNO juga korup dan tidak cekap untuk melaksanakan projek yang dirancang untuk negara.

Beliau dalam kenyataan terbaharu sekali lagi menyalahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Di masa Najib, kerajaan UMNO gagal dalam pengurusan kewangan. UMNO lah yang meminjam 42 bilion ringgit dengan mengguna 1MDB. Sebenarnya hutang Kerajaan dahulu tidak pernah lebih dari satu bilion.

“Sekarang, membayar faedah sahaja pun memerlu berbillion Ringgit tiap tahun. Hutang pokok tidak dibayar. Kerap kali peruntukan untuk pembangunan diguna untuk bayar faedah pinjaman. Dengan ini pembangunan kekurangan dana dan tidak dapat dilaksana. Lebih-lebih lagi kos meningkat kerana rasuah.

“Banyak cara-cara untuk mengurangkan kos tidak diamal. Di masa yang sama nilai ringgit jatuh. Ini bermakna bayaran hutang dalam ringgit meningkat dan juga kos import,” kata Mahathir.

Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata, GTA yang belum didaftar tidak ada pilihan selain terpaksa menyokong Bajet 2023.

Beliau mendakwa, jika GTA tidak memberikan sokongan terhadap Bajet 2023 akan rakyat akan kecewa dan menolak parti itu pada PRU15.

Mahathir yang telah berusia 97 tahun dan akan mempertahankan Parlimen Langkawi itu berkata, jika GTA menang PRU15 parti itu berupaya melaksanakan Bajet 2023.

“Belanjawan ternampak baik tetapi jika pelaksanaan tidak cekap peruntukan tidak dapat membawa hasil yang dijanji.

“Sebab itu, walaupun GTA menerima belanjawan ini tetapi banyaklah perubahan dan tambahan perlu dilakukan.

“Insya-Allah, GTA dapat melaksana bajet terutama bantuan-bantuan untuk rakyat jika UMNO tidak jadi kerajaan dan diganti oleh Kerajaan GTA (Pejuang) jika GTA diberi kemenangan dan mendiri Kerajaan,” kata Mahathir penuh yakin.

Bajet 2023 menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM95 bilion, meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion dan RM64 bilion pada 2021.

Peruntukan yang besar ini adalah bagi menyokong pembangunan negara dengan lebih terangkum dan mengurangkan jurang di antara wilayah walaupun berhadapan dengan kekangan fiskal.

Bajet tersebut dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz empat hari sebelum Parlimen dibubarkan.-MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast