UMNO Johor compete solo PAS state election Nur Jazlan
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Amaran Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pemimpin parti itu akan diseret ke mahkamah jika tewas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan kata-kata kosong.

Peringatan itu dikeluarkan hasil pengalaman Ahmad Zahid sendiri yang diseret ke mahkamah selepas parti itu tewas pada PRU14.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubunan UMNO Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Ahmad Zahid mungkin bercakap dengan nada berseloroh mengenai perkara itu pada Konvensyen MIC.

Namun luahan Ahmad Zahid adalah melalui pengalamannya menempuhi ‘perbicaraan oleh pendapat umum’ sehingga imej beliau terjejas meskipun hakim telah membebaskan beliau terhadap lebih 40 kes sebelum ini.

“Zahid nak dedahkan pekung puak Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang gunakan taktik kotor buat pendakwaan terpilih terhadap pemimpin-pemimpin UMNO sebab dendam.

“Zahid bercerita begitu sebab dia sendiri sudah terkena dalam kes VLN yang akhirnya mahkamah telah lepaskan dan bebaskan dia dari tuduhan palsu yang dirancang oleh puak PH bila mereka jadi kerajaan pada 2018.

“Zahid tahu macam mana peritnya jadi mangsa pertuduhan terpilih dan bersifat dendam politik itu,” kata Nur Jazlan.

Tambah beliau, Ahmad Zahid sedar banyak masa, tenaga dan wang ringgit terpaksa dikorbankan semata-mata naik turun mahkamah untuk mempertahankan diri daripada tuduhan.

Pengalaman yang dilalui Ahmad Zahid disebabkan BN kalah pada PRU14 dan akibat keengganan beliau untuk tunduk kepada ugutan serta arahan politik untuk membubarkan UMNO.

“Demi mempertahankan prinsip perjuangan diri dan parti, dia akhirnya jadi dendam seorang tua yang tak sedar diri.

“Sebab itulah Zahid mahu semua pemimpin BN dan UMNO bekerja keras untuk PRU15 ini supaya BN boleh menang dan mereka tak jadi mangsa dendam politik pihak PH mahupun PN yang sentiasa rakus mahu menjahanamkan UMNO,” katanya.

Nur Jazlan berkata, tidak seperti Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO lain pendakwaan tidak dikenakan terhadap bekas ahli Parlimen UMNO yang masuk ke dalam Bersatu.

“Kerana mereka tak kena? Jawapannya mudah sebab mereka sanggup bersekongkol dengan pihak lawan UMNO dan sanggup tinggalkan parti untuk selamatkan diri mereka daripada didakwa,” tambah Nur Jazlan.

Beliau turut mengingatkan bagaimana kemenangan PH pada PRU14 telah membantu ‘pengguguran tuduhan terpilih’ pemimpin parti itu.

Ini antaranya termasuk kes yang sedang dihadapi oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

“Selepas saja PH naik jadi kerajaan pada 2018, pada tahun sama juga secara tiba-tiba Pejabat Peguam Negara melalui pendakwa raya kes membuat keputusan untuk menarik balik kes berkenaan.

“Sampaikan pihak SPRM yang melakukan dan menyerahkan kertas siasatan kes itu juga terkejut dengan tindakan berkenaan.

“Ketika itu Peguam Negara adalah Tommy Thomas yang dilantik oleh Kerajaan PH. Jadi rakyat mesti fahamkan kenapa kes Guan Eng itu ditarik balik sehingga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan membebaskan dan melepaskan Guan Eng dari tuduhan rasuah,” katanya.-MalaysiaGazette