TAPAH – “Kalau anda tanya saya sebagai wakil rakyat, apakah rekod kerja saya di kawasan saya sendiri, banyak yang boleh saya cakap. Jika anda tanya wakil rakyat yang lain, macam-macam mereka boleh cakap.
“Tetapi daripada media sentiasa tanya kita (wakil rakyat) bukankah lebih baik tanya penduduk sekitar tentang pemimpin itu?”
Itu kata bekas Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kawasannya semalam.
Menteri Sumber Manusia merangkap Timbalan Presiden MIC itu berkata, wakil media sepatutnya menemubual penduduk tentang wakil rakyat mereka dan perlu dengar suara rakyat.
“Adakah rekod kerja itu memuaskan dan sebagainya. Tidak timbul isu-isu retorik atau hanya tunjuk muka ketika kempen. Kamu tanya calon, pastilah semua benda baik sahaja mereka cakap.
“Jika hendak tahu track record seorang wakil rakyat itu, sila minta pengundi pelbagai lapisan bukan satu golongan sahaja,” katanya.
Kata Saravanan lagi, sebagai wakil rakyat apatah lagi yang sudah bertanding lebih dari sekali sepatutnya pemimpin itu tidak lagi merayu undi kepada penduduk setempat.
“Saya pernah cakap sebelum ini, saya bukan baru di Tapah sebaliknya sudah lama di sini, masyarakat di sini boleh menilai saya, adakah saya telah mainkan peranan saya sebagai wakil rakyat atau sebaliknya,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Saravanan berkata, tidak timbul soalan ‘kerusi selamat’ sebaliknya semua yang dipertandingkan itu memerlukan usaha yang konsisten daripada wakil rakyat yang mahu berkhidmat.
“Tidak ada terma safe seat atau kerusi selamat ini sebenarnya. Semuanya sukar atau sebaliknya kerana ianya di tentukan oleh wakil rakyat itu sendiri. Semuanya terpulang kepada pengundi kita untuk menilai. Saya sendiri tidak rasa Tapah kerusi selamat.
“Saya tidak akan selesa dan menang sebaliknya akan terus komited dalam menggandakan pelbagai usaha saya menjadi pemimpin yang para pengundi dan penduduk kita impikan, itulah realitinya juga. Semua pihak harus faham,” tegasnya. -MalaysiaGazette