GEORGE TOWN – Seorang pemandu bot pancing tergamam apabila melihat seorang wanita mengandung terjun dari Jambatan Pulau Pinang sebelum terjatuh di hadapan botnya semalam.

Mohd Sobri Karim, 37, berkata, wanita berkenaan dilihat dalam keadaan tenggelam timbul sebaik terjatuh dari ketinggian jambatan tersebut sebelum diselamatkannya.

Menceritakan kejadian, Mohd Sobri berkata, insiden itu berlaku jam 6.45 petang dan ketika itu dia mahu mengambil dua pemancing di tiang jambatan tersebut.

“Ketika itu dalam bot saya ada empat pemancing yang baru diambil di tiang tengah jambatan sebelum kami terlihat kelibat sesuatu benda yang dipercayai manusia terjatuh dari atas jambatan itu.

“Wanita itu memang jatuh betul-betul di hadapan bot saya sebelum dilihat dia berada dalam keadaan tenggelam timbul serta ditolak arus.

“Susulan itu, saya mencapai tangannya dan ikat dengan tali pengikat bot supaya dia tidak tenggelam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Sobri, dengan bantuan empat pemancing mereka menarik tali tersebut sebelum mengangkat wanita yang dipercayai mengadung tujuh bulan itu ke dalam bot.

“Saya terus menghubungi ambulans manakala wanita yang memakai pelitup muka sambil memegang perutnya hanya menangis dan meraung ketika diselamatkan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi diserah kepada pasukan perubatan sebaik tiba di lokasi,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 19 saat yang dimuatnaik Mohd Sobri di TikTok yang memaparkan wanita berkenaan diselamatkannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast