Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis masih menyiasat kes seorang warga Palestin diculik pada September lalu, kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes tersebut.

“Polis Diraja Malaysia mengesahkan bahawa 11 individu yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober lalu merupakan suspek yang terlibat dalam kes penculikan seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Rakyat Malaysia hari ini digemparkan dengan laporan akhbar berbahasa Inggeris berhubung kejayaan PDRM menyelamatkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik oleh ejen-ejen Mossad di ibu negara, kira-kira pukul 10 malam pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai seorang anggota Hamas diselamatkan oleh Unit Tindakan Khas (UTK) dalam masa 24 jam di sebuah chalet di Hulu Langat.

Ketika serbuan dilakukan, mangsa sedang disiasat dan didera oleh penculik-penculiknya.

Akhbar itu turut melaporkan, rangkaian Mossad di Malaysia yang terdiri daripada rakyat tempatan itu dipercayai diketuai oleh seorang wanita tempatan berumur pertengahan 30-an.

Difahamkan, wanita terbabit merupakan penyiasat persendirian terlatih sebelum direkrut oleh seorang ejen Mossad sebelum 2018. – MalaysiaGazette