Lim Ban Hong

MELAKA – MCA menyerahkan kebijaksanaan presiden parti sama ada sedia memberi laluan kepada Khairy Jamaluddin untuk bertanding di Parlimen Alor Gajah yang menjadi kerusi tradisinya selama ini.

Naib Presiden MCA merangkap Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong berkata, ketika ini timbul pelbagai spekulasi mengenai nama-mana calon yang akan pertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Ia termasuklah nama Khairy antara yang disebut-sebut ke Parlimen Alor Gajah setelah beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau, bersedia melepaskan kerusi itu kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU-15.

“Saya fikir itu (beri laluan Khairy ke Alor Gajah) pihak kepimpinan tertinggi BN yang akan buat keputusan…jadi saya serah pada kebijaksanaan presiden-presiden parti kerana semua mereka orang yang berpengalaman.

“Menjelang PRU-15 ini, saya lihat banyak persoalan dan andaian namun setakat ini, BN masih kekal dengan pembahagian dua kerusi tradisional MCA iaitu di Kota Melaka dan Alor Gajah.

“Semangat perkongsian kuasa yang diamalkan BN ini juga nampak menerima respons yang baik dari para pengundi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Warganegara kepada Muhammad Shaffiq Izudin Aziz Abdul Rahim, 10, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPN negeri Norazle Sulaiman.

Ban Hong menyerahkan Sijil Warganegara kepada Muhammad Shaffiq Izudin Aziz Abdul Rahim, 10, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, hari ini.

Ditanya adakah MCA sedia ‘berkorban’ jika BN perlu meletakkan calon boleh menang daripada UMNO di kerusi tradisi MCA itu, Ban Hong berkata beliau yakin dan percaya, BN akan terus mengamalkan konsep perkongsian kuasa sebagaimana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

“Saya yakin dan percaya, konsep ini akan terus diamalkan BN sama ada dari segi pembahagian kerusi mahupun penentuan calon.

“Tumpuan kita sekarang ini adalah untuk melakukan persiapan rapi dalam masa yang suntuk ini untuk kuatkan momentum menghadapi PRU-15 dan memastikan calon BN menang di mana-mana kerusi ditandingi,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata

Parlimen Alor Gajah disandang bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan menewaskan calon MCA, Datuk Wong Nai Chee dengan majoriti 6,980 undi pada PRU-14 lalu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast