Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ.

PROGRAM Desa Lestari (PDL) yang diperkenalkan sejak tahun 2013 dan telah berjaya meningkatkan pengupayaan komuniti berpendapatan tinggi di 137 kampung akan diteruskan tahun ini dengan pemilihan 13 buah desa lagi.

Program di bawah kelolaan Kementerian Pembanguan Luar Bandar (KPLB) ini sedang mengenal pasti kampung yang mempunyai potensi ekonomi dalam sektor pertanian, pelancongan desa, penternakan, pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan.

Kampung-kampung terpilih akan menerima geran berjumlah antara RM500 ribu hingga RM1 juta.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, untuk tahun ini kementerian memperuntukan RM10 juta bagi pelaksanaan program tersebut bagi membangunkan ekonomi di kawasan desa.

“Kita telah mengenal pasti beberapa kampung. Pada masa ini urus setia Program Desa Lestari KPLB sedang melaksanakan proses pemilihan kampung.

“Kita juga telah menerima beberapa cadangan daripada Kerajaan Negeri dan daerah.

“Proses pemilihan masih lagi berjalan dan insya-Allah pada hujung tahun ini kita akan wujudkan 13 lagi Desa Lestari,” kata Ramlan kepada MalaysiaGazette

Menurutnya, setiap tahun KPLB menerima banyak permohonan daripada seluruh negara namun, hanya yang benar-benar berpotensi akan dipilih.

Kejayaan PDL yang dicapai

 PDL diperkenalkan di bawah program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) bagi mentransformasi kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di seluruh negara.

Peserta Program Desa Lestari yang juga pemilik ladang maman Pahim Mahmud, 59, menjual sayur maman kepada pemborong di Ladang Maman Segar di Kampung Geduk Sawah Tampin, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM

Objektif program tersebut adalah bagu mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dan moden dari aspek infrastruktur dan penggunaan teknologi dalam aktiviti ekonomi.

Ramlan berkata, antara desa yang mencatatkan kemajuan cemerlang adalah Kampung Tellian, Mukah, Sarawak yang memperoleh  pendapatan berjumlah RM4.9 juta dari 2014 hingga 2021.

Turut cemerlang Kampung Paloh 1, Gua Musang, Kelantan (2014 – 2021; RM4.4 juta), Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, Sabah (2014 – 2021; RM3.8 juta), Kampung Sri Makmur, Pekan, Pahang (2015 – 2021; RM37 juta) dan Kampung Sungai Jambi, Batu Pahat, Johor (2015 – 2021; RM2.9 juta).

“Alhamdulillah setakat ini berdasarkan pemerhatian kita, daripada 137 kampung yang terlibat dalam Program Desa Lestari, sebanyak 54 kampung daripada segi peratusan 40 peratus telah berjaya mencapai tahap yang membanggakan.

“Di mana kriteria pengukurannya adalah kampung-kampung ini telah menjana dan meningkatkan sekurang-kurangnya 5 peratus pendapatan kasar tahunan selepas setahun pelaksanaannya,” kata Ramlan.

Menurutnya, kerajaan menyediakan geran kepada kampung terpilih dan platform yang digunakan adalah Koperasi Komuniti.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ.

Pada masa ini terdapat 105 koperasi kampung berstatus masih aktif dalam menjalankan projek ekonomi PDL dan lebih 32,000 penduduk kampung telah menerima manfaat daripada program ekonomi yang dilaksanakan.

Program itu juga berjaya mewujudkan lebih daripada 4,300 peluang pekerjaan.

“Sebenarnya, penduduk kampung mempunyai potensi yang amat besar untuk mereka berkembang maju menyediakan peluang-peluang ekonomi yang berimpak tinggi.

“Cuma mereka perlukan sokongan dan bantuan bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi sokongan moral, ilmu, latihan dan sebagainya,” katanya.

Pemilihan yang ketat

 Bukan mudah untuk satu-satu kampung dipilih menyertai PDL kerana senarai pencalonan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan Wilayah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli akan ditapis mengikut kriteria yang ditetapkan oleh KPLB.

Pemborong Sayur Maman, Fong kelihatan memborong sayur maman yang ditanam peserta Program Desa Lestari di Kampung Geduk Sawah Tampin, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM

Seterusnya, calon-calon akan dinilai melalui sesi temuduga dan lawatan tapak oleh pihak KPLB.

“Banyak kelebihan yang akan diterima oleh kampung-kampung yang terlibat dalam Desa Lestari. KPLB akan memberikan sokongan yang sehabis baik kepada kampung-kampung yang terlibat.

“Contohnya, kalau kampung itu terlibat dalam sektor eko-pelancongan kita akan gerakkan semua agensi yang berkaitan untuk membantu seperti Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

“Kalau dalam aktiviti pertanian, kita akan libatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan dan sebagainya,” kata Ramlan.

Kampung yang terpilih juga akan dibawa untuk menyertai pelbagai program seperti Ekspo Pengguna Halal Feista Malaysia (HALFEST), Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agor Pelancongan (MAHA) dan Karnival Usahawan Desa.

Tukang masak rendang maman, Noriza Mansor memasak rendang maman untuk dijual di Ladang Maman Segar di Kampung Geduk Sawah Tampin, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM.

Terdapat lapan kriteria pemilihan bagi melayakkan satu-satu kampung dipilih menyertai program itu.

Antaranya,  ia hanya dibuka kepada kampung yang ditadbir oleh Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK). Kampung terbabit mestilah mempunyai potensi serta sumber semulajadi untuk dibangunkan.

Selain itu, kampung berkenaan perlu mempunyai kepimpinan yang berupaya merancang dan melaksanakan aktiviti pembangunan dan kemasyarakatan serta mendapat sokongan daripada penduduk setempat.

Kampung tersebut juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus kumpulan belia yang tinggal dan aktif.

Keutamaan akan diberikan kepada kampung yang mempunyai koperasi sebagai penggerak ekonomi setempat serta aktif.

Kampung yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan atau negeri bagi tempoh lima tahun ke belakang akan mempunyai kelebihan untuk disenaraikan sebagai calon PDL.

“Kita ada tempoh lima tahun untuk melihat perkembangan kepada setiap projek yang dilaksanakan. Jadi, dalam tempoh itu kita akan membantu mana-mana yang kurang.

“Mungkin ada perkara yang memerlukan pengubahsuaian semasa projek sedang berjalan. Tidak mengikut proposal asal Itu pun kita lihat balik untuk memastikan setiap program dan projek yang dilaksanakan betul-betul memberi mafaat,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ.

Melangkah ke hadapan Ramlan berkata, KPLB akan memperkenalkan satu modul baharu pembangunan kampung yang dikenali sebagai Kampung Sejahtera.

Modul itu menjadikan PDL sebagai elemen penting yang akan digembeling bersama dalam Kampung Sejahtera.

Beliau menjelaskan, PDL adalah fokus untuk aktiviti ekonomi sementara Kampung Sejahtera yang akan dilaksanakan lebih holistik dari segi persekitaran, pengindahan kampung dan sebagainya.

“Dan akhirnya, melalui PDL dan program yang akan digembeling di bawah Kampung Sejahtera nanti akan menyebabkan kampung menjadi satu tempat atau destinasi pilihan untuk orang-orang muda berkarier, mencari dan menambahkan pendapatan.

“Tidak perlu lagi ke bandar. Malah, kita akan mempelawa orang-orang yang berhijrah ke bandar untuk pulang ke kampung apabila kampung kita telah mencapai tahap yang diidamkan di bawah Program Desa Lestari dan seterusnya Kampung Sejahtera,” kata Ramlan.

Tambah beliau, selain pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan, KPLB berharap melalui PDL dan Kampung Sejahtera boleh membantu kerajaan mempelbagaikan sumber makanan sekaligus menangani isu keselamatan bekalan makanan negara.-MalaysiaGazette