Foto pertemuan pemimpin Pas dan UMNO yang ditularkan di media sosial.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memang tidak berada dalam bilik ketika perbincangan dilakukan antara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa foto yang ditularkan oleh Asyraf Wajdi seolah-olah beliau hadir dalam perjumpaan itu diambil 10 minit sebelum perbincangan bermula.

Menurut beliau, perbincangan hanya melibatkan Abdul Hadi, Ahmad Zahid dan timbalan presiden kedua-dua parti itu iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Ditularkan gambar tujuh orang yang hadir sedangkan gambar di meja makan tersebut adalah ketika tetamu sampai, semuanya duduk berbual sekitar 10 minit.

“Selepas itu, tiga orang yang lain pun beredar, tinggallah empat orang pimpinan iaitu presiden dan timbalan presiden Pas dan UMNO berbincang sekitar satu jam.

“Kekanda saya, Asyraf juga berada di luar sepanjang perbincangan,” kata Ahmad Fadhli dalam kenyataan hari ini mengulas gambar yang ditularkan oleh Asyraf Wajdi bagi membuktikan dirinya turut serta dalam perbincangan itu.

Asyraf Wajdi sebelum itu mendakwa Pas memaklumkan dalam perbincangan itu parti tersebut telah ditawarkan  47 kerusi selamat oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ahmad Fadhli juga menegaskan kehadiran Abdul Hadi adalah untuk menyelami hati budi UMNO dan mendengar syarat yang diletakkan Ahmad Zahid.

Manakalan Tuan Ibrahim pula hadir sebagai saksi pertemuan dan mencatit butiran perbincangan.

“Tidaklah perlu saya dedahkan syarat-syarat yang dikemukakan. Namun tempoh singkat diberikan kepada Presiden Pas untuk memuktamadkan keputusan, iaitu Jumaat 14 Oktober (dua hari).

“Esoknya Khamis 13 Oktober, mesyuarat Pas Pusat. Penuh bilik mesyuarat walaupun hari bekerja. Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal perdana menteri.

“Yang dimusyawarahkan adalah soal hukum – apakah maslahahnya, apakah mudaratnya. Yang timbul adalah soal nasib – bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena charge esok, siapa kena charge lusa) – tetapi nasib agama, bangsa dan negara,” katanya.

Tambahnya, keputusan muktamad dicapai dalam mesyuarat itu adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU dan penyatuan ummah tetap diteruskan.

Objektifnya adalah untuk menyelamatkan negara daripada terjarah di bawah Pakatan Harapan yang akan mendatangkan  mudarat lebih besar.

“Sekianlah sedikit fakta untuk diperbetulkan, bagi menjernihkan sedikit kekeruhan yang diperlihatkan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Biduk lalu, kiambang bertaut.

“Saya bersaksi bahawa, Presiden Pas dan Timbalan Presiden Pas telah bercakap benar, tidak berbohong dan tidak pernah memungkiri janji,” tegas beliau.

Asyraf Wajdi sebelum ini menegaskan beliau tidak berbohong apabila mendedahkan butiran bahawa Bersatu menawarkan 47 kerusi selamat kepada Pas.

Beliau juga menegaskan beliau tidak memungkiri janji apabila berkongsi foto pertemuan itu di media sosial. – MalaysiaGazette