Feroz Baharudin. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pertahanan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Feroz Baharudin menganggap peranan membarisi skuad utama perlawanan terakhir Liga Super menentang Sabah FC cukup besar.

Beliau berbangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kemenangan JDT.

Feroz semakin selesa apabila berpeluang untuk bergandingan bersama pemain yang lebih senior dan usahanya itu membuahkan hasil apabila berjaya menembusi skuad utama dalam tiga perlawanan Liga Super, musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu antara nama yang kian mendapat perhatian selepas mempertaruhkan aksi cemerlang bersama JDT II dan peluang yang diberi oleh pengendali, Hector Bidoglio kepadanya juga tidak disia-siakan untuk pamer prestasi terbaik terutamanya selepas ketiadaan Shane Lowry ekoran kecederaan.

“Peranan saya sangat besar apabila dapat beraksi dalam kesebelasan utama malam Sabtu lalu dan terima kasih kepada semua terutamanya TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang memberi peluang kepada saya.

“Alhamdulillah kami memperoleh kemenangan dan saya bersyukur dalam tiga perlawanan yang saya main dapat buat yang terbaik.

“Apa yang penting saya lega apabila dapat membuktikan kemampuan dan sekarang pun sudah boleh menyesuaikan diri dengan pemain-pemain senior lain dengan baik”, jelasnya.

Dalam pada itu, Bidoglio juga tidak menafikan Feroz dan juga seorang lagi pemain muda, K. Daryl Sham merupakan antara pemain berkualiti yang perlu dijaga kerana mempunyai masa depan cerah berdasarkan prestasi ketika ini.

Namun, beliau enggan pemain yang turut membantu JDT II raih trofi Liga Premier itu selesa dan perlu bekerja lebih keras jika ingin terus berada dalam skuad utama.

“Mereka berdua adalah pemain yang penting yang perlu dijaga untuk kelab ini kerana bermain dengan baik setakat ini.

“Tetapi jika ingin terus bermain untuk skuad utama JDT, mereka tidak boleh berhenti berusaha dan banyak benda yang masih perlu dilakukan oleh mereka.

“Mereka juga berlatih dengan baik dalam setiap latihan dan sikap ini adalah baik untuk mereka memberikan sesuatu kepada kelab nanti”, jelasnya.

JDT berjaya menjulang trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan diraikan dengan gilang gemilang sejurus berakhir aksi terakhir menentang Sabah FC, Sabtu lalu. -MalaysiaGazette