Abdul Aziz (kiri), Dr. Noor Hisham dan Hakimah antara penggerak Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam.

CYBERJAYA – Kesihatan tidak selalu datang dari perubatan, ia sering kali datang dari ketenangan fikiran, ketenangan dalam hati dan ketenangan dalam jiwa, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Berucap merasmikan Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam, beliau menjelaskan, sesungguhnya hati dan jiwa yang tenang akan hadir apabila kembali kepada Allah dengan hati yang reda.

Simposium anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mental Health Foundation (MHF) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam berlangsung selama satu hari di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya.

Seramai 250 peserta dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Institusi Pengajian Tinggi (IPT), hospital, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penghuni Rumah Ar-Riqab (MAIS), kaunselor syarie dan terapis psikospiritual yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan kes kesihatan mental hadir.

Ucaptama disampaikan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang memberi fokus kepada Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam.

Sebahagian 250 peserta yang hadir menyertai Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam.

Beliau menjelaskan, Islam memandang kesihatan mental satu keperluan asas yang patut dijaga dan dipelihara kerana melibatkan kesihatan jiwa.

Katanya, prinsip Maqasid Syariah menetapkan penjagaan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada aplikasi pemeliharaan maslahah dalam konteks menjaga akal dan diri individu menjurus kepada pemeliharaan nyawa.

Sebanyak lima resolusi dicapai berdasarkan input yang dibincangkan.

Ini termasuk dua pembentangan bertajuk, Advokasi & Promosi Kesihatan Mental oleh Pakar Perunding Psikiatri, Dr. Ahmad Rostam dan Pendekatan Psikospiritual Islam Dalam Isu Kesihatan Mental oleh Prof. Dr. Che Zarrina Sa’ari dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Konklusinya, bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan bersifat holistik haruslah melalui gabungan elemen rawatan dari segi ubat-ubatan, psikologikal serta sokongan sosial dan elemen kerohanian iaitu bio-psiko-sosial-spiritual.

Simposium itu diadakan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022, diakhiri dengan majlis penutup oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. – MalaysiaGazette