Onn Hafiz ketika menghadiri Majlis Pembukaan Data Bridge Data Centre MY06 KIDEX Sedenak di Sedenak Tech Park,Kulai hari ini.

KULAI – Rakyat Johor diingatkan supaya bijak membuat keputusan pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) banyak pembangunan negara dan di negeri itu tidak dapat dilaksanakan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu nanti pastinya yang akan memberi kesan langsung terhadap negeri ini.

“Kita  sudah kehilangan dan buang masa selama empat tahun masa PH memerintah. Apa yang saya sebut terdahulu mengenai projek pelebaran lebuh raya bukan sesuatu yang baharu, ini sudah diumumkan pada 2016, HSR diumumkan pada 2017 dan dibatalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Tiada kestabilan peringkat kerajaan pusat, saya boleh beri jaminan jika tiada kestabilan juga peringkat kerajaan negeri. Jadi berfikirlah secara rasional dan buat keputusan tepat.

“Saya hanya ingin berkongsi, dengan sokongan MIDA MIDEC MITI, negeri ini menerima pelaburan sebanyak RM60.9billion tertinggi direkodkan dalam negara ini hari ini. Ini terjadi kerana pada pandangan saya, sokongan berterusan peringkat pusat dan kerana kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Data Bridge Data Centre MY06 KIDEX Sedenak di Sedenak Tech Park di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan Presiden Bridge Data Centres, Lim DZ Shing.

Jelas Onn Hafiz, sebagai menteri besar baharu dan muda, beliau mengakui memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan Johor terus mengecapi kemakmuran dan pembangunan.

“Menteri Kewangan juga baru-baru ini dalam Bajet 2023 meluluskan projek pelebaran Lebuhraya Plus Yong Peng ke Johor Bahru secara berperingkat termasuk Sedenak Senai ke Desaru dan melabur di industri petrokimia di Penggerang.

“Ini adalah rancangan dan rayuan kerajaan Johor kepada kerajaan pusat dalam masa singkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan kerajaan negeri akan melaksanakan kejayaan konsep Kulai Fast Lane ke seluruh daerah di negeri pada masa depan bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing.

“Kita memendekkan proses daripada 15 hingga 18 bulan untuk membina pusat data sebegini dengan komitmen semua pihak kita menjadikan ia kenyataan dalam tempoh 11 bulan.

“MIDA, MIDEC, agensi kerajaan dan kami akan memastikan Kulai Fast Lane ini akan dijadikan contoh dan dilaksanakan di daerah lain di Johor,” katanya lagi.

Johor Fast Lane merupakan komitmen berterusan kerajaan Johor sekaligus menunjukkan negeri ini mesra perniagaan dan pelabur.

Rancangan itu selaras dengan hasrat menjadikan Johor maju dalam pembangunan yang lebih lestari. – MalasysiaGazette