KUALA LUMPUR – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan berkuasa dahulu diakui oleh para pemimpinnya sendiri.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengakui rakyat dan beliau masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan.
Selain itu, katanya, Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, David Wong turut mengakui prestasi buruk selama 22 bulan pentadbiran PH sebagai salah satu punca kekalahan besarnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
“Trauma dan buruk, mengaku pemimpin kanan PH sendiri berhubung prestasi kerajaan PH yang amat gagal sehingga digelar Gagalkrasi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau menambah, rata-rata rakyat juga berpendapat bahawa PH yang sebelum dan 22 bulan selepas PRU-14 turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal teruk semasa mereka menjadi kerajaan.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak turut mengimbau kembali kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang meminta rakyat memilih semula Barisan Nasional (BN) sekiranya PH gagal.
“Jadi, rakyat patut ikutlah saranan Syed Saddiq bahawa rakyat perlu buang PH dan pilih semula BN,” katanya. – MalaysiaGazette