Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak melihat pemainnya menjalani latihan sempena persiapan menentang pasukan Al Seeb (Oman) menjelang perlawanan akhir Piala AFC 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 21 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Setelah berjaya membawa Kuala Lumpur City (KL City) menamatkan kemarau 32 tahun muncul juara Piala Malaysia, Bojan Hodak sekali lagi membawa misi besar untuk mencipta sejarah pada aksi final Piala Konfederasi Asia (AFC) 2022 menentang kelab Oman, Al Seeb, esok.

Ketua jurulatih dari Croatia itu berkata, kejayaan KL City mara ke peringkat akhir Piala AFC yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, seperti mimpi menjadi kenyataan kerana tidak meletakkan sasaran tinggi pada awal saingan tersebut.

Bagaimanapun, Hodak menyedari ia bukan tugas mudah buat skuad The City Boys kerana lawan kali ini memiliki kekuatan dengan mempunyai enam pemain kebangsaan yang boleh diturunkan.

“Al Seeb adalah pasukan yang hebat dan sebagai perbandingan, Oman kini menduduki tempat ke-75 dalam ranking FIFA  berbanding Malaysia (146). Mereka mempunyai lima hingga enam pemain kebangsaan dan pernah menewaskan Jepun (1-0) pada kelayakan Piala Dunia 2022 bagi zon Asia,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Meskipun Stadium Nasional bukanlah gelanggang rasmi KL City namun dengan memiliki peluang beraksi di laman sendiri, Hodak berharap penyokong akan hadir untuk memberikan sokongan sekali gus meningkatkan semangat para pemain.

“Al Seeb pasukan yang bagus dan sudah mempunyai pengalaman beraksi di stadium penuh,” katanya sambil berharap anak buahnya dapat mengurangkan kesilapan dalam perlawanan malam esok.

Pemain pasukan Al Seeb (Oman) menjalani latihan sempena persiapan menentang pasukan Kuala Lumpur City FC menjelang perlawanan akhir Piala AFC 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 21 OKTOBER 2022.

Sementara itu, ketua pasukan KL City Paolo Josue percaya semua pemain sudah tidak sabar untuk membuktikan kemampuan mereka dan melengkapkan ‘kisah dongeng’ menentang juara Liga Oman itu.

Menurut beliau, jika KL City mampu menyekat lawan daripada menghasilkan jaringan, pasukannya mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan sulung Piala AFC.

“Saya mahu tunjukkan kepada seluruh Asia yang kita berupaya bergelar juara dan bukan secara tidak sengaja,” katanya.

KL City muncul kelab kedua dari Malaysia mara ke final saingan Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukannya pada 2015 yang menyaksikan Harimau Selatan muncul juara selepas menewaskan Istiklol dari Tajikistan 1-0. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast