KUALA LUMPUR – Mengakui sering disamakan dengan pengacara dan penyanyi, Roslan Shah – Rayme Zainal menyifatkan perkara tersebut sebagai satu pujian namun merasakan dirinya terlalu kerdil jika dibandingkan dengan selebriti kelahiran Singapura itu.
Rayme juga menjelaskan biar pun seringkali disamakan dengan Roslan, dia sesekali tidak menggunakan kelebihan itu sebagai ruang untuk menumpang populariti mana-mana artis.
Dia yang pernah mengeluarkan single Tiada Lagi Esok pada 2020 dan Andai pada Mei lalu mahu membina nama dalam bidang seni melalui bakat yang ada sebagai penyanyi dan komposer.
“Memang ada viral media sosial dan selalu orang tegur muka seiras saya Roslan dari dulu lagi dan ada juga yang kata seiras pelakon, Cico Harahap.
“Namun saya tiada apa-apa kaitan dengan Roslan malah tidak mengenali beliau secara peribadi tetapi pernah berjumpa di program-program umum.
“Bagi saya, Roslan sangat bagus sebagai pengacara dan pandai juga menyanyi. Beliau sangat menghiburkan sebagai pengacara dan juga versatile sebagai selebriti serba boleh,” katanya yang berusia 44 tahun.
Dia mengulas videonya yang tular di Twitter sejak semalam apabila orang ramai menegurnya kerana muka seiras Roslan yang mencecah 140,000 tontonan.
Gara-gara video itu juga dia digelar lelaki aneh oleh netizen kerana gemar menyanyi secara terbuka menggunakan fon telinga dengan suara kuat di tempat awam.
Sebelum ini, Rayme pernah menjadi juara pertandingan atas talian anjuran Sajakiri Musicdab dan menyertai program realiti tv francais dari United Kingdom bagi musim pertama iaitu All Together Now Malaysia anjuran ASTRO.
Pengalaman pertama menyertai program realiti itu menerusi persembahan nyanyian lagu Curiga dengan susunan lebih segar telah menarik perhatian juri dan ia merupakan platform permulaan untuk lelaki kelahiran Tanjung Malim, Perak untuk melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian.
Pada April lalu, dia yang memiliki bakat sebagai komposer turut mengeluarkan single ketiga sempena Aidilfiti yang bertajuk Rindu Di Hari Raya.
Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar Rayme Zainal Abidin ini tidak membaca komen-komen negatif tersebut yang hanya menjatuhkan semangatnya apabila dituduh sengaja menumpang populariti mana-mana artis untuk dikenali dan menarik pengikut media sosial.
Sementara itu mengulas karier seninya, Rayme berkata, dia akan mengeluarkan single keempat yang bertajuk Close To You pada bulan depan dan merancang untuk mengeluarkan EP pada tahun 2023.
“Saya sudah lama minat dalam bidang nyanyian ini dan sanggup memasuki kelas vokal bersama beberapa guru vokal selebriti iaitu Cikgu Shafi, Cikgu Sarah Ismail dan Cikgu Aruel Ariel sejak tahun 2017 sehingga hari ini.
“Namun hehadiran sebagai penyanyi bukan untuk bersaing, tetapi lebih kepada berkongsi minat dan bakat dalam bidang nyanyian.
“Berharap agar nyanyian dan lagu-lagu ciptaan sendiri diterima pendengar dan semoga mendapat tempat di industri hiburan tanahair,” katanya yang masih bujang itu. – MalaysiaGazette