KUALA LUMPUR – Selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar kerusi ke Tambun, timbul pula desas desus beberapa pemimpin PKR turut akan bertukar kerusi.
Menurut sumber sebuah parti, antara yang didakwa berubah kerusi adalah bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dipercayai akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.
Wan Azizah sebelum ini bertanding di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 lalu dengan majoriti 52,543 undi.
Dua lagi pemimpin PKR yang dikatakan akan bertukar kerusi adalah Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar yang bertukar kerusi ke Parlimen Ampang.
Nurul Izzah sebelum ini adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh dengan 15,668 dan Lembah Pantai pada PRU13.
“(Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri) Shamsul (Iskandar Mohd Akin) akan tukar kerusi ke Parlimen Bagan Datuk untuk bertanding dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” kata sumber berkenaan.
Shamsul memenangi Parlimen Hang Tuah Jaya dengan majoriti 8,640 sementara Ahmad Zahid memenangi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 5,073 undi.
Bagaimanapun, media sebelum ini melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), 19 November depan.
Turut disebut-sebut adalah tiga calon muka baharu yang akan diketengahkan PH.
“(Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Ali akan diletakkan di Parlimen Nibong Tebal, (Ketua Wanita PKR), Fadzlina Sidek diletakkan di kerusi Permatang Pauh mengantikan Nurul Izzah.
“Zahir Hasan akan diletakkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju menggantikan Datin Tan Yee Kew yang memenangi kerusi itu pada PRU14,” katanya lagi.
Zahir adalah Setiausaha Pengelola PKR.
Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa dikhabarkan akan diletakkan di Parlimen Gombak.
“Husam akan menentang Azmin di Gombak,” jelas sumber berkenaan lagi.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Azmin merupakan penyandang kerusi Gombak pada PRU14 dan memenangi kerusi itu ketika dalam PH dengan majoriti 48,71 undi.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula akan kembali bertanding di Parlimen Pandan.
Rafizi memenangi kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti 26,729 undi.
MalaysiaGazette sedang menghubungi nama-nama di atas bagi mendapatkan respons mengenai dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette
Anwar tak jd lawan Axmin kaaa? haaa pengecut