Tan Tuan Peng

KUALA LUMPUR – MCA menyambut baik langkah pelbagai kumpulan perniagaan yang menyeru semua majikan membenarkan pekerja mereka keluar mengundi pada 19 November 2022.

Seruan itu telah dibuat oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Persatuan PKS Malaysia dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta).

Pengerusi Jawatankuasa Perunding Ekonomi MCA, Tan Tuan Peng berkata, memandangkan setiap undi adalah penting, seruan ini menunjukkan sektor perniagaan negara ini menjunjung amalan demokrasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana menjamin bahawa semua warganegara Malaysia yang layak mempunyai hak untuk mengundi.

Persatuan-persatuan perniagaan ini harus diakui mematuhi undang-undang dan begitu juga menghendaki ahli-ahli mereka  mematuhi Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang menyatakan setiap majikan harus membenarkan pekerja  keluar dalam ‘tempoh yang munasabah untuk mengundi’.

Di bawah seksyen itu juga menyebut tiada majikan boleh memotong gaji pekerja atau mengenakan apa-apa penalti bagi ketidakhadiran bagi tempoh tersebut.

Jika hari pengundian diisytiharkan sebagai hari kelepasan am di bawah Seksyen 8 Akta Cuti, majikan diwajibkan untuk mematuhi hari kelepasan am mengikut Seksyen 60D(1)(b) Akta Pekerjaan.

Cuti yang diisytiharkan ini adalah (juga) sebagai tambahan kepada minimum 11 hari kelepasan am di bawah Akta Pekerjaan. Dan jika hari pengundian diisytiharkan sedemikian, tarikh itu tidak boleh digantikan dengan hari lain,” katanya.

Tuan Peng percaya, majikan yang membenar dan menggalakkan kakitangan mereka keluar mengundi akan mendorong tenaga kerja lebih bermotivasi dan produktif.

Beliau berkata, majikan juga boleh melakukan jadual giliran kerja bagi kilang yang beroperasi 24 jam supaya setiap kakitangan boleh mengundi.

“Jadual giliran ini perlu memperuntukkan masa mencukupi dengan mengambil kira jarak, lalu lintas pergi dan balik pusat mengundi dan perlu berbaris di tempat mengundi. Pada hari pengundian, majikan juga boleh membenarkan kakitangan mereka masuk dan/atau keluar lebih awal dan lewat,” tambahnya.

Tambahnya, demokrasi yang sihat dan kerajaan yang stabil membolehkan sektor korporat berkembang pesat.

Ia kerana, kedua-dua pelabur asing dan domestik akan tertarik untuk mengeluarkan modal di negara ini, menubuhkan kilang atau syarikat baharu, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di samping pemindahan pengetahuan dan inovasi. – MalaysiaGazette