JOHOR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meminta pelawat dari Singapura yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) supaya mematuhi prosedur dan peraturan masuk ke Malaysia bersempena cuti perayaan Deepavali.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud menerusi satu kenyataan berkata, jabatan telah membuat persediaan dari segi pembukaan kaunter manual, autogate dan laluan motosikal MBike supaya boleh beroperasi pada tahap terbaik.
Menurutnya, pelawat yang memasuki Malaysia khusunya melalui pintu masuk BSI dan KSAB diminta supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa supaya proses pemeriksaan dokumen berjalan lancar.
“Pelawat juga dinasihatkan supaya memastikan dokumen perjalanan (passport) dan lain-lain dokumen seperti visa masih dalam tempoh sah laku. Dokumen yang tidak teratur akan menyebabkan kemasukan ditolak,” katanya.
Beliau berkata, ejen-ejen pelancongan diminta untuk mengemukakan lebih awal senarai pelawat dan jumlah bas pelancongan, seperti yang dipersetujui dalam sesi libat urus pada 12 Oktober lalu.
“Kerjasama semua pihak dapat membantu mempercepatkan proses kemasukan.
“JIM mengucapkan selamat bercuti dan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette