GEORGE TOWN – Perbincangan mengenai pengguna logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dikatakan masih belum selesai meskipun mesyuarat membabitkan parti komponen PN dilakukan Rabu lalu.
Sumber MalaysiaGazette berkata, hanya Kelantan dan Terengganu saja sudah mendapat kata putus mengenai penggunaan logo Pas pada PRU15.
Bagaimanapun, jelas sumber itu, rundingan penggunaan logo Pas di Kedah masih dilakukan susulan terdapat enam kawasan Parlimen di negeri itu bukan majoriti pengundi Melayu.
“Isu penggunaan logo menjadi perkara penting dalam mesyuarat PN demi memastikan tiada parti komponen terjejas selain mahu mendapatkan keseragaman parti.
“Memang ada cadangan untuk buat logo baru tapi Pengerusi PN tak setuju kerana kesuntukan masa selain takut mengelirukan rakyat sebab itu kita jangka guna logo PN buat PRU15 ni.
“Tapi buat masa ini tiada sebarang kata putus dan Pengerusi PN masih membuat perbincangan membabitkan perkara itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut sumber itu berkata, sebarang perbincangan mengenai logo, calon serta pembahagian kerusi dalam PN mengambil masa memandangkan ia merupakan gabungan baharu membabitkan tiga komponen parti yang sudah lama berada dalam arena politik negara.
“Memang Bersatu baru tapi pemimpin serta ahli-ahlinya sudah lama dalam politik kerana semua orang maklum rata-rata mereka datang daripada parti lain sebelum ini.
“Jadi semua perbincangan harus lebih teliti kerana kita mahukan kemenangan dalam PRU15 untuk membentuk kerajaan yang membela nasib rakyat” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN akan memuktamadkan penggunaan logo yang bakal digunakan calon gabungan parti itu dalam PRU15 sebelum proses penamaan calon berlangsung. – MalaysiaGazette
Benda basic logo pun tak bersatu..mcm ni rakyat nak harapkan? BN tak kira laaa UMNO kaa..MCA kaaa..MIC kaaa…satu jaaa lambangnya..dacing…