Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Campur tangan keterlaluan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam pelantikan hakim-hakim kanan boleh memberi imej buruk dan mengurangkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain itu, terlalu banyak kes pendakwaan politik semasa zaman Tommy menjadi Peguam Negara dahulu.

Menurut beliau, pendedahan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat buku Tommy yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness itu amat mengejutkan serta membuktikan betapa besar bencana jika Pakatan Harapan (PH) dan bekas sekutu mereka dibenarkan untuk memerintah semula.

“Tetapi PH laksana diktator melanggar undang-undang sedia ada demi menguasai setiap cabang pemerintahan termasuk sistem kehakiman kita.

“Inilah sebab besar untuk rakyat terus menolak PH dan bekas-bekas sekutu mereka. Tolak mereka demi negara,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) mengulas tentang pendedahan Pasukan Petugas Khas yang melaporkan campur tangan Tommy dalam pelantikan hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah & Sarawak pada 2018 dan 2019.

Beliau menambah, pelantikan hakim-hakim tersebut bercanggah dengan cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

“Sedangkan sebarang pelantikan hakim hendaklah berdasarkan nasihat SPK sepertimana Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009,” jelasnya.

Asyraf Wajdi memberitahu, akta tersebut digubal semasa era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi memastikan Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kuasa penuh dalam pelantikan hakim, sekaligus menaikkan imej kebebasan mahkamah.

“Inilah beza besar antara pentadbiran BN pasca Perdana Menteri keempat dan pentadbiran zaman PH.

“Usaha-usaha mentransformasi dan membersihkan imej kebebasan sistem keadilan telah berjaya dilaksana pada zaman kita,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Letak jawatan laaa mereka yg dilantik oleh Mahathir…anda memalukan sistem kehakiman Malaysia…bagaimana anda boleh menegakkan keluhuran perlembagaan jika perlantikan anda sendiri bertentangan dengan perlembagaan?

Comments are closed.