Poster pergerakan pulang anak-anak Pahang pulang mengundi yang dianjurkan oleh MAMPAN

KUANTAN –Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) menyediakan bas pecuma kepada pengundi Pahang yang terdiri daripada warga mahasiswa bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November sempena Pilihan Raya Umum (PRU15).

MAMPAN menerusi kenyataan memaklumkan permohonan akhir boleh dibuat sehingga pukul 11.59 malam pada 23 Oktober 2022 menerusi aplikasi Google Form.

“Sebarang permohonon selepas tarikh tersebut tidak akan dilayan, bas adalah percuma dan tiada bayaran yang akan dikenakan kepada pelajar.

“Bagi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Zon Selatan, Utara dan Lembah Klang, bas akan bergerak dari satu IPT ke satu IPT dan berkumpul di UKM untuk pengagihan mengikut daerah,” katanya.

Manakala bagi IPT di Zon Timur, bas akan bergerak dari satu IPT ke satu IPT dan berkumpul di Kuantan untuk pengagihan mengikut daerah.

Tambahnya masa dan arah pergerakan dari satu IPT ke satu IPT akan mengikut zon masing-masing dan tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan.

Perkhidmatan bas percuma turut ditawarkan dan disediakan kepada mahasiswa yang menetap di Sabah dan Sarawak.

“Bas hanya disediakan untuk pergerakan pelajar dari KLIA ke daerah masing-masing dan akan berkumpul di UKM untuk pembahagian mengikut daerah.

“Tiket penerbangan dari Sabah atau Sarawak ke semenanjung dan sebaliknya tidak akan ditanggung.

Terdahulu Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan semua IPT perlu memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi dari 17 hingga 21 November 2022.

Justeru semua IPT diminta memastikan semua kelas dan aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain. – MalaysiaGazette