Liew Chin Tong.-foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong tidak bersetuju dengan pendapat penganalisis politik bahawa parti UMNO memperoleh semula sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

Chin Tong berkata, tidak ada bukti nyata dikemukakan penganalisis terbabit bagi membuktikan pandangan mereka bahawa UMNO telah memperoleh sokongan..

“Walaupun sesetengah penganalisis berpendapat UMNO boleh mendapatkan semula sokongan, nampaknya tidak ada bukti yang serius untuk menyokongnya.

“Malah, sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, UMNO-Barisan Nasional tidak mendapat sedikit pun landasan baharu,” kata Chin Tong.

Pelbagai media melaporkan penganalisis politik berpendapat UMNO dan BN telah mula mendapat sokongan pengundi.

Ia dibuktikan dalam beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri yang diadakan sebelum ini.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, parti pimpian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu masih belum mempunyai banyak daya tarikan daripada pengundi walaupun beliau berpendapat dirinya cukup bijak untuk mencetuskan pilihan raya.

Chin Tong mendakwa sekurang-kurangnya terdapat lima faktor menyebabkan pengundi merasakan ada sesuatu yang tidak kena terhadap UMNO.

“Pertama #undibanjir. Pada mulanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan penasihat medianya bersetuju dengan orang ramai dan pembangkang supaya pilihan raya tidak diadakan pada musim banjir.

“Tetapi mereka berubah fikiran. Idea bahawa UMNO menggesa pengundian mengejut untuk kepentingan mereka sendiri walaupun amaran banjir kini sangat sebati dalam fikiran pengundi. Jelas sekali, pengundi tidak suka apa yang UMNO lakukan,” dakwa Chin Tong.

Beliau yang tewas pada PRU14 mendakwa, UMNO sebagai punca ketidakstabilan telah menjadikan pengundi ragu-ragu untuk menyokong parti tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling itu juga mendakwa UMNO tidak mendapat cukup sokongan kerana parti itu tidak mempunyai wang untuk diberikan kepada jentera pilihan raya berikutan masalah dalaman yang dihadapi.

“Memandangkan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) berada dalam penjara dan berdepan denda besar-besaran manakala Zahid tidak mempunyai wang tunai sebanyak itu untuk PRU15, parti itu menghadapi masalah kewangan sekarang.

“Saya mengesyaki walaupun puak Ismail Sabri mungkin mempunyai sedikit dana, tanpa jaminan untuk menjadi perdana menteri lagi, mereka tidak mungkin berbelanja banyak.

“Jadi jentera UMNO yang hanya tahu peraturan “cakap wang” tiba-tiba ketiadaan sumber yang mereka nikmati sebelum ini,” dakwa Chin Tong. – MalaysiaGazette