Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman yang menyelar Pakatan Harapan (PH) atas isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) disifatkan berfikiran cetek.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, tawaran Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat Sabah bukan sekadar jawatan TPM malah sebelum ini juga telah menawarkan beyond autonomy.

Ia bermaksud bukan sahaja pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) malah banyak inisiatif lain melangkauinya sesuai dengan apa yang diperlukan Sabah  selepas pembentukan Malaysia.

“Malah jika Azis ingat, PH memberikan amanah kepada Shafie Apdal untuk membentang Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak kepada sebuah wilayah sebagai langkah pelaksanaan MA63. Malah walau selepas digulingkan, PH tidak berhenti memperjuangkan MA63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Razeef, ketika Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan Barisan Nasional dan PH dimeterai demi kestabilan politik bagi memberi ruang pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19, pihaknya juga memberikan syarat agar kedua pihak menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 dan mendapat sokongan sebulat suara.

“Saya yakin jika PH diberikan amanah oleh rakyat sekali lagi, kita mampu melaksanakan apa yang termaktub dalam MA63 seperti yang PH sentiasa perjuangkan.

“Adakah fikiran Azis secetek itu sehingga memikirkan PH hanya menawarkan jawatan TPM tapi tidak isu-isu lain termasuk pelaksanaan MA63?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, menurutnya, PH juga tidak pernah menyatakan rakyat Sabah atau Sarawak tidak layak menjadi Perdana Menteri seperti dakwaan Azis.

Malah, katanya, tawaran jawatan TPM merupakan langkah permulaan bahawa pemimpin dari Sabah atau Sarawak layak menduduki jawatan nombor dua negara dan satu masa nanti akan ada Perdana Menteri Malaysia dari wilayah Borneo.

“Saya yakin rakyat lebih bijak untuk memilih Pakatan Harapan atas prestasi yang lebih baik walau hanya mentadbir selama 22 bulan.

“Memilih Warisan tidak mampu mengubah apa-apa walau Warisan menang kesemua 26 kerusi di Sabah malah Warisan hanya merancang untuk menjadi king maker pada pilihanraya kali ini. Ini bermakna Warisan tidak ada beza dengan Pas yang bersedia “melacurkan” diri selepas pilihan raya umum.

“Taktik pembodohan Azis dan Warisan sudah tidak terpakai kepada rakyat Sabah yang lebih bijak menilai bahawa Pakatan Harapan mampu merealisasikan MA63 berbanding Warisan walaupun Warisan sedang mengemis undi di semenanjung yang mereka gelar “Malaya”,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bukan jawatan TPM yang rakyat Sabah mahu – Warisan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast