Mohd Azis Jamman. -foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah tidak mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman mendakwa, presiden parti Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pernah menerima tawaran tersebut ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun Mohd. Shafie menolak kedua-dua tawaran berkenaan.

Mohd. Azis berkata, apa yang dimahukan oleh rakyat Sabah adalah hak sama rata, formula yang adil dan kesaksamaan untuk negeri itu sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia.

Sabah juga tidak mahu diabaikan dan dianaktirikan sehingga negeri itu jauh ketinggalan dari sudut pembangunan dan infrastruktur.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya Sabah menerima jawatan TPM adakah bermakna anak negeri itu tidak layak untuk memimpin Malaysia sebagai perdana menteri.

“Adakah dengan mewujudkan jawatan TPM bagi Sabah dan Sarawak bermakna pemimpin dari Sabah dan Sarawak tidak boleh atau tidak akan memegang jawatan Perdana Menteri pada masa hadapan?

“Adakah ini bermakna wakil dari Sabah dan Sarawak tidak layak memegang jawatan Perdana Menteri pada masa hadapan? Adakah ini bermakna hanya orang Malaya berhak ke atas jawatan nombor satu negara itu?

“Apa ertinya Sabah, Sarawak dan Malaya sebagai rakan kongsi sama rata dalam Persekutuan Malaysia jika jawatan Perdana Menteri hanya dikhaskan untuk Malaya? Malaya fikir rakyat Sabah dan Sarawak bodoh?” tanya beliau.

Selain itu katanya, rakyat Sabah mahu pelaksanaan sepenuhnya dengan segera Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dipersetujui sekian lama antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.

Rakyat Sabah tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan seperti menunggu sehingga kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan kukuh bagi pelaksanaan MA63.

“Ini kerana kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak akan bertambah baik dengan mengambil kira salah laku dan
amalan rasuah, salah guna kuasa dan kronisme yang berleluasa di negara ini,” tegas beliau.

Semalam media melaporkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menawarkan jawatan TPM kepada pemimpin Sabah sekiranya parti yang dipimpin menang Pilihan Raya Umum ke-15 bulan depan. – MalaysiaGazette