HULU SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) kekal dengan pendirian mahu meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) mengenai Program Parallel Pathway (PPP), meskipun terdapat tentangan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu turut dipersetujui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi sesi libat urus yang diadakan sebelum ini.
Ujarnya, langkah itu penting bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program tersebut dapat mendaftarkan sebagai pakar di bawah akta berkenaan.
“Siapa pun boleh beri pandangan tapi akhirnya nanti apabila kita siap memorandum, kita akan bentang.
“Apa yang penting KKM dan KPT mempunyai pendirian yang sama. Kita kena laksanakan (pinda Akta 50) dan jalankan apa yang telah ditetapkan bersama dengan meletakkan rujukan Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan, Profesor Dr Noor Hassim Ismail berkata, tiada keperluan untuk meminda Akta 50 bagi mengatasi jurang antara PPP dan Program Sarjana Perubatan tempatan.
Jelas Noor Hassim, pihaknya tidak jelas keperluan untuk meminda Akta 50 bagi menampung pendaftaran doktor di bawah program ‘Parallel Pathway’.
“Kami prihatin dengan keadaan pelatih dan graduan program Parallel Pathway yang dijalankan di Malaysia. Mereka menyertai program latihan yang menganugerahkan kelayakan namun tidak boleh didaftarkan ke dalam Daftar Pakar Perubatan Malaysia.
“Bagi membolehkan pendaftaran mereka sebagai doktor pakar, undang-undang semasa membolehkan mereka diserap ke dalam program tempatan melalui proses pemindahan kredit atau pemetaan kurikulum.
“Oleh itu, selepas menjalani latihan, mereka akan dianugerahkan dengan kelayakan yang didaftarkan di bawah Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) sekali gus layak didaftarkan sebagai Pakar dalam Daftar Pakar Majlis Perubatan Malaysia,” jelasnya – MalaysiaGazette