KUANTAN – Satu laporan polis telah dibuat ke atas penyandang kerusi Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berikutan kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja Pahang, baru-baru ini.
Pengerusi Kelab Khabar Bentong, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kenyataan itu dibuat di pentas ceramah politik baru-baru ini.
“Tengku Zulpuri telah bertindak melampau batas apabila turut mengaitkan Istana Pahang dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Srri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kelab KBBT Bentong dan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Mempaga turut membuat laporan polis berhubung perkara sama.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong berkata, ceramah tersebut jelas bertujuan menimbulkan kebencian terhadap Istana Pahang.
“Kenyataan ini pastinya telah mengguris hati dan perasaan rakyat Pahang yang amat mengasihi dan sentiasa bernaung di bawah institusi diraja,” jelasnya.
Menurut Amizar, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap Tengku Zulpuri bagi memberi pengajaran bahawa terdapat had dan batas dalam berpolitik. – MalaysiaGazette