Seorang jentera Pakatan Harapan memasang bendera parti ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Solok, Negeri Sembilan.foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Cabang PKR Alor Gajah didakwa tidak sehaluan dalam pembahagian kerusi parlimen kawasan itu dengan DAP.

Ia susulan tersebarnya tangkapan layar perbualan WhatsApp Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang meminta supaya Ketua Cabang PKR Alor Gajah, Ginie Lim memohon cabang tersebut menghentikan tuntutan terhadap kerusi itu.

Selain tangkapan layar perbualan WhatsApp turut diemelkan kepada Malaysia Gazette adalah surat Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Cabang PKR Alor Gajah kepada Rafizi yang memohon penjelasan berkaitan tuntutan rundingan semula Parlimen Alor Gajah.

Dalam perbualan itu, Rafizi menegaskan, sejak dari awal kerusi Parlimen Alor Gajah bukan milik PKR.

Beliau berkata, ketika ini hanya Cabang Alor Gajah mempertikaikan pembahagian kerusi sedangkan 221 Cabang PKR di seluruh negara mengekalkan persetujuan rundingan yang dibuat dengan komponen Pakatan Harapan (PH).

“Ginie Lim mohon Cabang Alor Gajah hentikan semua ini. Alor Gajah tidak pernah menjadi kerusi PKR dalam beberapa pilihan raya. Kerusi itu milik DAP.

“Semasa PRN Melaka dalam perbicangan mengenai pembahagian kerusi, mewakili parti, perjanjian muktamad telah dibuat bahawa Alor Gajah diserahkan semula kepada DAP sebagai pertukaran lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri,” kata Rafizi dalam perbualan WhatsApp Majlis Ketua Cabang 2022.

Sementara itu, dalam surat yang dihantar kepada Rafizi, beliau diminta supaya memberi penjelasan kepada dua perkara.

Isu pertama melibatkan rundingan kerusi antara komponen PH. Surat tersebut meminta penjelasan daripada Jawatankuasa Rundingan Kerusi Parti sama ada telah mempertimbangkan permintaan Cabang Alor Gajah untuk PKR menawarkan kerusi parlimen lain bagi mendapatkan Parlimen Alor Gajah.

Isu kedua melibatkan pencalonan Ginnie. Menurut surat tersebut, Cabang Alor Gajah bersetuju menyokong Ginie memohon pencalonan pilihan raya berdasarkan beberapa faktor yang dinyatakan sebelum ini.

Surat tersebut ingin tahu skor dan kedudukan Ginie setelah proses penilaian khasnya di bawah kuota 30 peratus pencalonan wanita.

Cabang Alor Gajah juga meminta Rafizi memberikan jawapan yang telus dan adil kerana permohonan pencalonan Ginie telah dimaklumkan sebaik Pilihan Raya Negeri Melaka selesai.

Tambahan menurutnya, Cabang Alor Gajah telah membuktikan kekuatan dengan bilangan anggota teramai dan bilangan ranting sebanyak 34 berbanding cabang-cabang lain. – MalaysiaGazette