Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dikatakan menjadi kepercayaan kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

Kerusi Parlimen Gombak yang penyandangnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini menang dengan majoriti besar atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Namun, beliau bertindak melompat meninggalkan PKR selepas itu.

Menjelang PRU15, Gombak disifatkan antara kerusi ‘panas’ apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi bayangan untuk bertanding di kerusi itu.

Sumber tertinggi PKR yang enggan dinamakan berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat hari ini oleh kepimpinan tertinggi yang yakin pencalonan Amirudin di Gombak bagaikan ‘buku bertemu ruas’.

Sebelum ini juga, banyak analisis serta spekulasi dan khabar angin tentang siapakah yang akan berdepan dengan Mohamed Azmin yang awal-awal lagi sudah menyatakan pendirian pertahankan kerusi Gombak atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Kata sumber itu kepada MalaysiaGazette, Amirudin adalah calon paling tepat untuk berdepan Mohamed Azmin yang sudah lama bertapak di kerusi itu menggunakan parti PKR.

“Menteri Besar hendak buktikan bahawa Gombak adalah kubu kuat PKR, PH. Maruah dan mandat pengundi Gombak yang telah menjadi mangsa khianat perlu dikembalikan.

“Untuk makluman, kita (jentera MB dan PH) akan all out bagi memastikan kemenangan ini milik kita. Masyarakat juga celik dan tahu siapa Mohamed Azmin ini yang khianat parti sendiri demi kuasa tetapi harganya dibayar oleh pengundi Gombak,” katanya.

Mohamed Azmin Ali

Pada PRU14, Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak mewakili PKR dengan meraih 75,113 undi, menewaskan calon dari UMNO yang memperoleh 26,392 undi, manakala Pas sebanyak 17,537 undi.

Pada 2018, Gombak mempunyai sebanyak 141,112 pengundi berdaftar dengan 85.4% atau 120,548 pengundi keluar mengundi.

Dari aspek demografi, 75.8% daripada pengundi berdaftar terdiri daripada Melayu, manakala India merekodkan 10.77% dan Cina 10.67%.

Sebelum ini juga, Azmin tampil mencabar Anwar untuk bertanding di Gombak untuk menentukan siapakah yang diterima oleh masyarakat setempat di sini.

“Saya serahkan kepada rakyat Gombak, tetapi saya yakin mereka mengenali saya sekian lama.

“Mereka melihat bagaimana saya apabila diberi tanggungjawab besar,” kata Azmin yang juga berasal dari Hulu Klang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast