KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kerana masih berdepan kes mahkamah atas tuduhan serangan seksual terhadap bekas pembantunya, Yusoff Rawther.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, beliau perlu menarik diri dari sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah tersebut.
Menurut beliau, langkah itu adalah untuk memastikan hanya pemimpin yang bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara.
“Oleh yang demikian, adalah mengejutkan dan amat tidak wajar bagi Pakatan Harapan (PH) untuk mencalonkan Anwar sebelum selesainya kes mahkamah saudara Yusoff terhadap beliau.
“Nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Abd Latiff yang juga penyandang kerusi Parlimen Mersing mengulas tentang pengumuman Anwar sebagai calon Perdana Menteri bagi PH baru-baru ini.
Pada 14 Julai 2021, Yusoff memfailkan kes sivil atas kejadian serangan seksual terhadapnya yang didakwa berlaku di kediaman Anwar pada 2018.
Pada 19 Oktober lalu, Yusoff telah menang kes saman berkaitan isu tersebut terhadap Setiausaha Akhbar Anwar dan mahkamah memerintahkan ganti rugi sebanyak RM200,000 serta kos dibayar kepada beliau.
Abd Latiff memberitahu, dalam keadaan itu terpulang kepada PH untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan perdana menteri.
“Mereka perlu menghormati proses pilihan raya negara dengan memastikan semua calon, terutamanya calon Perdana Menteri adalah bersih dan penuh integriti,” jelasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Anwar Ibrahim bertanding di Tambun, calon PM untuk PH