UNGKAPAN “Pas tidak kuat, tapi UMNO tak mahu menang” tidak lagi jadi ulasan penganalisis dan pemerhati politik dalam tulisan mereka setiap kali mengaitkan kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) terutama di Kelantan.
Kalau tidak, dari PRU kesembilan (PRU9 – 1995) yang menyaksikan Pas sudah menang sepenggal di Kelantan sejak PRU8 tahun 1990 hingga ke PRU14 tahun 2018, ungkapan itulah digunakan untuk mensabitkan kekalahan UMNO.
Kini, selepas banyak penggal berlalu dan sepanjang tempoh itu UMNO Kelantan masih juga gagal mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, walaupun di seluruh negara UMNO menang besar.
Jadi, sesuailah ungkapan “Pas tidak kuat, UMNO tak mahu menang” dijadikan alasan kerana setiap kali PRU, wujudlah budaya cah keting, tikam belakang dan sabotaj sesama sendiri.
Puncanya, kerana tak dapat jadi calon. Yang sepatut dipilih sebagai calon, dipinggirkan, yang tidak layak menjadi calon disenaraikan bertanding. Ini punca mengapa UMNO Kelantan kalah dalam tujuh kali PRU dari 1990, 1995, 1999, 2004, 2008, 2013 dan 2018.
Benar, UMNO pernah ada peluang untuk tawan semula Kelantan dalam PRU11 tahun 2004, tetapi tindakan tidak masuk akal pucuk pimpinan parti ketika itu memecat enam Ketua Bahagian, menyebabkan UMNO masih gagal merampas negeri bergelar Serambi Mekah itu.
Secara jujur Bawah Kolong (BK) kata, rakyat Kelantan sudah meluat dengan pentadbiran Pas yang langsung tidak menyumbangkan apa-apa pembangunan sepanjang 32 tahun memerintah.
Namun, rakyat lebih meluat dengan pertelagahan sesama sendiri yang tidak pernah berkesudahan berlaku dalam UMNO. Mereka tunggu musim pemilihan bahagian untuk menjatuhkan satu sama lain.
Ada yang taja perwakilan ke negara jiran. Ada yang bawa rombongan tunai umrah dan tidak sedikit beri habuan semata-mata untuk pancing undi dan menang. Ini hakikat yang berlaku dalam UMNO sebelum ini.
Memang dahsyat kempen mereka. Sanggup berhabisan ratusan ribu ringgit untuk menang. Pendek kata, kempen peringkat parti lebih meriah dari kempen pilihan raya negeri.
Sebab itu, musuh parti iaitu Pas tidak risau setiap kali PRU. Mereka tahu mereka menang kalau tidak turun berkempen pun kerana ahli dan penyokong UMNO akan undi sabotaj terhadap calon mereka.
UMNO hanya akan menang beberapa kawasan Parlimen sahaja seperti Ketereh dan Gua Musang, manakala 12 kawasan lain bergilir menang dengan lawan. Contohnya, Parlimen Tumpat, pernah BN menang, pernah Pas menang. Begitu juga Parlimen lain seperti Bachok dan Kuala Krai.
Kali ini, BK perhatikan tidak ada lagi budaya cah keting dan suka khianat sesama mereka. Mereka ini telah lenyap bersamaan dengan kekalahan teruk UMNO pada PRU14 yang lalu.
Mereka menghilangkan diri dan lari kerana tidak sanggup lagi bersama UMNO selepas menyedari Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah hilang sokongan serta pengaruh.
Selama ini, mereka ‘berkhidmat’ dalam parti hanya kerana dua pemimpin ini terlalu memanjakan mereka. Hidup serba mewah. Rumah besar, kereta besar, isteri besar dan ego pun besar. Sebab segaka-galanya cukup.
Sekarang, selepas kedua pemimpin itu berdepan dengan kes di mahkamah, ramai yang ‘makan di tangan’ melarikan diri dan ghaib tiba-tiba. Ada yang seberang ke parti sebelah sana, ada yang ambil keputusan ‘bersara’ dan tidak kurang juga mengambil sikap tidak mahu campur tangan.
Maka, tinggallah pemimpin yang kurang dikenali menampilkan muka mengiringi Najib dan Zahid di mahkamah. Pemimpin yang sebelum menempel sebelah kiri kanan Najib dan Zahid, hilang dari radar.
Pada BK, ini satu petanda baik kepada UMNO dan sebenarnya kalau UMNO mahu terus maju dan mara, UMNO tidak perlu pun ahli politik seperti ini. Ahli politik muka tembok yang muncul bila ketua senang, hilang ketika ketua susah.
Di Kelantan misalnya, selepas UMNO kalah pada PRU14, baharu rakyat boleh nampak muka baharu terajui parti dan baharulah muka-mula baharu berpeluang tonjolkan diri.
Kalau masih menang lagi tahun 2018, tak tahulah apa nak kata. Mungkin selama itulah rakyat akan asyik tengok muka sama sahaja melintas depan mata mereka, walaupun loya tengok gelagat pemimpin berusia senja dan antik.
Sekarang, peluang anak muda atau muka baharu meneruskan kesinambungan parti. Yang antik dan lapuk elok sahaja tinggal di rumah habiskan masa bersama isteri, anak dan cucu cicit.
Biarlah anak muda dan muka baharu yang teruskan perjuangan. Mungkin mereka lebih elok daripada kita yang sudah tua bangka ini. Ini juga sesuai dengan perubahan masa dan peredaran zaman. – MalaysiaGazette