Ketua Siasatan & Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Hassan menunjukkan barang rampasan serbuan terhadap premis pajak gadai tidak berlesen di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Cawangan Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menahan enam individu yang menjalankan perniagaan pajak gadai haram di tiga negeri baru-baru ini.

Penahanan itu dilakukan dalam serbuan terhadap lima premis yang menjalankan perniagaan pajak gadai haram membabitkan rampasan bernilai lebih RM200,000.

Ketua Siasatan & Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Hassan berkata, serbuan di sebuah premis di Perlis dan dua buah masing-masing di Melaka dan Selangor itu pihaknya telah menahan enam individu warga tempatan berumur 20 hingga 40 tahun disyaki terbabit dalam operasi pajak gadai tidak berlesen.

Barang-barang rampasan dalam serbuan premis pajak gadai tidak berlesen.

Katanya, serbuan yang dijalankan sepanjang bulan Mei hingga Ogos lalu itu berdasarkan aduan orang awam serta risikan pihaknya berjaya merampas wang tunai RM14,539.55, barang kemas seperti cincin, rantai tangan, anting-anting, loket dan rantai leher anggaran RM146,050.

“Turut dirampas ialah alat penimbang emas, set komputer pelbagai jenama, cecair asid penguji emas, buku daftar perniagaan, surat menyerupai pajak gadai serta dokumen perjanjian pinjaman yang dikitar semula,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Mohd Fauzi, serbuan pertama dilakukan pada 23 Mei lalu di Kangar, Perlis dan pihaknya telah merampas 80 jenis barang kemas, batu pengasah, alat timbang emas dan cecair asid penguji emas.

“Serbuan kedua terletak di Bandar Raya Melaka, pihak kami merampas wang tunai berjumlah RM780, surat pajak gadai dan mesin alat timbang.

“Operasi ketiga pada 26 Mei lalu juga di Melaka iaitu premis yang terletak di Bukit Tempurung. Kita telah menahan seorang lelaki dan merampas wang kertas berjumlah RM1,002, barang-barang kemas, satu set komputer serta alat penimbang emas.

“Manakala premis keempat di Petaling Jaya, Selangor kita merampas pelbagai barang kemas berjumlah RM11 824.55, mesin alat penimbang dan barang-barang yang berkaitan dengan perniagaan pajak gadai tidak berlesen.

“Premis terakhir di Taman Melawati dan berjaya merampas wang tunai berjumlah RM987,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima premis dipercayai beroperasi antara satu hingga tiga tahun lalu.

Mohd Fauzi berkata, bagi kes terbabit siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 kerana menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah.

“Lima individu dijangka akan dituduh di Mahkamah Majistret dalam waktu terdekat. Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai diminta untuk memuat turun aplikasi I-Gadaian bagi tujuan membuat carian nama pemegang pajak gadai yang berlesen dan didaftarkan di bawah KPKT di seluruh Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast