Kanak-kanak sembilan tahun maut dalam kejadian kemalangan di kawasan berhampiran Mydin Nusajaya, Jalan Ismail Sultan, East Ledang, Johor malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dalam kemalangan berhampiran Mydin Nusajaya, Jalan Ismail Sultan, East Ledang di sini malam tadi.

Sementara itu empat lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan itu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Nazran Omar dalam kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.44 malam.

Jelasnya, kanak-kanak yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas namun telah disahkannya meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.

“Seramai tujuh anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah Toyota Vios dan sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza.

“Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan rescue tools dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM yang berada di lokasi dan memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan.

“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, pemandu Toyota Vios iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan parah manakala dua lagi penumpang iaitu seorang wanita berusia 45 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun cedera ringan.

“Sementara itu, pemandu Toyota Avanza iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kaki akibat kemalangan tersebut.

Ahmad Nazran turut memaklumkan pihaknya turut bertindak membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan tersebut menggunakan habuk kayu.

Operasi itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 10.38 malam. –MalaysiaGazette