Muhammad Yusoff Mohd Noor

TASEK GELUGOR – Tindakan mempertaruhkan calon luar bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor boleh menjejaskan peluang kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Kebimbangan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor selepas akar umbi cawangan UMNO bahagian tersebut sebulat suara mahukan calon tempatan.

Jelas beliau, usul yang dibawa 86 cawangan  UMNO bahagian Tasek Gelugor itu harus dipandang serius memandangkan kesepakatan mereka mahu memastikan kemenangan calon tempatan di kerusi yang telah dirompak parti lawan.

“Saya tak kisah tempatkan siapa untuk kerusi ini (Parlimen Tasek Gelugor) tapi perlu ikut usul yang dibawa oleh cawangan mahukan calon tempatan.

“Kita bimbang sekiranya calon luar ditempatkan di sini, ia akan memberi ancaman kepada kekuatan serta kemenangan BN di negeri ini.

“Apa yang perlu kita pastikan untuk menghadapi PRU15 ini adalah soal penerimaan rakyat di kawasan tersebut bagi memastikan kemenangan berbanding soal ‘try and error’ letakkan calon luar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Yusoff berkata, calon tempatan juga dilihat mampu memberikan saingan sengit kepada calon daripada parti lawan.

“Semua orang tahu PRU kali ini undi muda akan menjadi penentu segala-galanya dan kemenangan itu bukan mudah tapi saya percaya calon tempatan mampu memberikan saingan dalam pertembungan yang dijangka  membabitkan tiga penjuru.

“Berdasarkan kajian kita seramai 80,920 jumlah pengundi di Parlimen Tasek Gelugor dan 51 peratus daripada merupakan pengundi muda berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun.

“Kita sendiri telah membuat pelbagai program bersama anak muda untuk memastikan sokongan mereka terhadap kita pada PRU15 ini,” jelas beliau.

Untuk rekod, pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi Datuk Shabudin Yahaya yang ketika itu bertanding atas tiket UMNO sebelum beliau melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 14 Disember 2019.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi.

Bagaimanapun situasi itu berbeza bagi Muhammad Yusoff yang memenangi majoriti undi sebanyak 1,934 bagi kerusi DUN Sungai Dua meskipun tsunami politik berlaku pada PRU14. – MalaysiaGazette