Soffian (kanan) menunjukkan ganja bernilai RM1.4 juta yang dirampas polis dalam serbuan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Polis merampas ganja bernilai RM1.4 juta susulan penahanan dua nelayan dalam serbuan berasingan di Tanjung Bungah di sini, pada Sabtu lalu.

Serbuan yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bersama JSJN Bukit Aman serta  Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 itu membawa kepada penemuan 564 ketulan mampat ganja seberat 573 kilogram (kg) yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 54 tahun di sebuah pondok nelayan di pesisir pantai Tanjung Bungah pada jam 1.40 pagi.

Kata beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 243 ketulan mampat ganja bernilai RM612,000.

Ganja yang dirampas diseludup masuk dari negara jiran.

“Serbuan kedua dibuat 15 minit kemudian yang mana elaki berusia 58 tahun ditahan dengan bantuan polis marin kira-kira 600 meter dari pantai ketika dia menghampiri pesisir pantai dengan sebuah bot.

“Hasil pemeriksaan, terdapat 11 karung guni mengandungi 321 ketulan mampat ganja bernilai kira-kira RM818,000 di dalam bot itu, ” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini hari ini.

Menurut Soffian, siasatan polis mendapati dadah terbabit diperolehi oleh suspek dari negara jiran menerusi jalan laut.

“Mereka dipercayai aktif dalam kegiatan itu sejak Julai lalu dengan suspek berusia 58 tahun merupakan dalang pengedaran dadah tersebut bagi pasaran tempatan di negeri ini.

Nelayan dalang seludup masuk ganja melalui jalan laut.

“Kedua-dua mereka juga didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, namun keduanya negatif ujian saringan awal air kencing,” kata beliau.

Kedua-dua suspek direman sehingga 28 Oktober ini bagi siasatan lanjut mengikut Sekayen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette