Rodziah Ismail

KUALA LUMPUR –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail dijangka akan bertanding di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ini bermakna beliau akan bertemu dengan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Zuraida yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum ini menyatakan akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang yang dimenanginya ketika menjadi pemimpin PKR.

Zuraida telah menang Parlimen Ampang atas tiket PKR sejak 2008 lagi.

Menurut sumber, Rodziah dijangka bakal memberi saingan sengit sekaligus mampu mengembalikan kerusi Ampang kembali kepada PKR kali ini.

“Kerusi yang disandang oleh Zuraida adalah milik PKR, beliau menang kerana PKR. Selepas khianat parti sendiri, tidak mungkin kita akan biarkan kerusi itu jadi miliknya. Kepimpinan tertinggi lihat calon yang mampu lawan Zuraida adalah Rodziah.

“Mungkin ada pengumuman tentang perkara ini dan beberapa kerusi ‘panas’ hari ini,” katanya ringkas.

Rodziah merupakan ADUN Batu Tiga selama tiga penggal dan pernah mencabar Zuraida dengan bertanding jawatan Ketua Wanita PKR satu ketika dahulu.

Sebelum ini juga timbul desas-desas PKR bakal meletakkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar bagi mencabar Zuraida di Ampang dan kerusi Permatang Pauh  bakal dipertahankan Ketua wanita parti itu, Fadhlina Sidek.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi bayangan berkemungkinan besar anaknya itu akan kekal di Permatang Pauh.

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin

“Saya punya sikap adalah, this is a democratic country, anybody can come to Ampang and contest. They are most welcomed, anda (media) pun dialu-alukan untuk bertanding di Ampang,” kata Zuraida.

Pada PRU14 lalu, Zuraida yang ketika itu merupakan Naib Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru.

Namun Zuraida bertindak keluar parti pada 2020 untuk bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menubuhkan kerajaan baharu menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada awal bulan ini, beliau diangkat menjadi PBM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast