KUALA LUMPUR – Kewangan Islam boleh menyumbang ke arah menangani cabaran yang dihadapi oleh ruang pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) konvensional, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah berdasarkan rekod prestasi Malaysia dalam kepimpinan global dalam pasaran modal Islam, negara berada pada kedudukan yang baik untuk terus berinovasi dalam bidang ini.
“Dengan berbuat demikian, kita boleh meningkatkan lagi profil industri kewangan Islam kita,” titah baginda dalam ucapan perasmian pada majlis pelancaran kampus baharu INCEIF University di sini hari ini.
“Bagi permulaan baharu ‘Kewangan Islam 2.0’ ini, penekanan yang lebih baik perlu diberikan kepada agenda ESG,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, negara telah mencapai kemajuan yang besar dengan menyepadukan pertimbangan ESG dalam amalan perniagaan syarikat dan pertimbangan pelaburan penyedia perkhidmatan kewangan.
“Berdasarkan keperluan ESG baharu telah diperkenalkan, pihak berkepentingan ini telah memberikan sokongan pengawalseliaan dan penyeliaan, menerajui pembangunan produk dan inisiatif strategik lain.
“Bagaimanapun, kita perlu meningkatkan usaha untuk bersaing di peringkat global, jika negara ingin menunjukkan bagaimana kewangan Islam dapat memenuhi keperluan pasaran kewangan dan ekonomi global yang lebih luas,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah bagi menjadikan Kewangan Islam 2.0 satu realiti, Malaysia juga perlu berusaha untuk menjadi lebih dipercayai kepada semangat sebenar syariat Islam, Maqasid.
“Dalam kita berusaha ke arah kemakmuran, kita perlu sama-sama memberi tumpuan kepada menambah baik persekitaran untuk rakyat,” titah baginda. – BERNAMA